Menjejakkan kaki ke Tanah Haramain buat kali pertama merupakan pengalaman yang terindah dan amat berharga bagi aku. Kembara ke tanah suci ini bukanlah kembara biasa-biasa seperti yang selalu kita lakukan di tempat lain. Kembara ini kadang-kala mendebarkan kerana kembara ini adalah kembara untuk bertemu dengan Pencipta kita, Allah Taala dan kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Kembara ini menggusarkan hati apabila mengenangkan diriku seorang pendosa yang menggalas segunung dosa dengan harapan akan diampunkan olehNya, ameen...
Kembara Haramain ini bermula pada 8 Feb 2016 dengan penerbangan Air Asia X pada jam 2.35 pagi di KLIA2 dan mendarat di Jeddah pada jam 7.30 pagi waktu Jeddah yang memakan masa 9 jam. Urusan imigresen di Jeddah biasanya memakan masa yang agak lama sekiranya terdapat banyak flight lain yang mendarat pada waktu yang sama. Namun alhamdulillah Allah permudahkan urusan kami kerana pada waktu itu hanya flight kami sahaja yang mendarat. Selepas selesai urusan imigresen dan mengambil luggage, kami terus menuju ke bas untuk meneruskan perjalanan ke madinah yang mengambil masa lebih kurang 6 jam. Jarak dari Jeddah ke Madinah adalah lebih kurang 250 km. Bagi mereka yang ada duit lebih bolehlah jimatkan masa dengan mengambil pakej penerbangan bersama Saudi Airlines atau Flynas kerana hanya dua flight ini sahaja yang boleh mendarat terus ke Airport Madinah.
Perjalanan dari Jeddah ke Madinah dihiasi pemandangan bukit-bukit batu dan padang pasir di kiri dan kanan jalanraya. Jeddah merupakan tempat Hawa diturunkan dari syurga selepas melanggar larangan Allah daripada memakan buah khuldi. Semasa memasuki sempadan Kota Madinah, kelihatan terdapat tugu-tugu sempadan antara tanah halal dan tanah haram. Tak lama kemudian, tiang-tiang Masjid Nabawi mula kelihatan menerbitkan rasa teruja dan syukur kerana akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke kota ini. Kami menginap di Hotel tidak jauh dari Masjid Nabawi kira-kira 150 meter sahaja. Suhu dan cuaca pada waktu ini agak sejuk dan berangin sehingga mencecah 9°C pada waktu malam dan lebih kurang 18-24°C pada waktu siang.
|
Pemandangan di sepanjang jalan dari Jeddah ke Madinah |
Masjid Nabawi merupakan masjid kedua yang dimuliakan Allah selepas Masjidil Haram. Solat di dalam masjid ini diganjarkan pahala 1000 kali ganda. Maka, solatlah di dalamnya, bukan di perkarangan masjid kerana solat di perkarangan masjid hanya mendapat pahala jemaah sahaja, bukan 1000 kali ganda pahala. Perkarangan Masjid Nabawi dihiasi payung yang cantik yang kebiasaannya dibuka pada waktu siang dan ditutup (kuncup) pada waktu malam. Ruang solat wanita di dalam masjid ini cepat penuh terutamanya pada waktu subuh. Maka masuklah ke dalam masjid setengah jam atau sejam sebelum masuk waktu solat. Sesiapa yang datang lambat akan dihalau oleh polis wanita yang memakai jubah dan purdah serba hitam sambil menjerit, "irji'ie, ma fi makan..." yang bermaksud, "kembalilah, sudah tiada tempat..." Maka solatlah diluar masjid. Adalah diingatkan bahawa ruang solat wanita tidak dibenarkan membawa masuk kamera bagi menjaga aurat wanita di dalam masjid. Polis akan memeriksa beg sebelum masuk ke dalam masjid.
|
Ruangan solat wanita di dalam Masjid Nabawi |
|
Masjid Nabawi pada waktu malam |
|
Dalam Masjid Nabawi |
|
Perkarangan Masjid Nabawi |
Di dalam Masjid Nabawi terdapat Taman Raudhah yang di dalamnya terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w bersama dua sahabatnya Saidina Abu Bakar as-siddiq dan Saidina Umar al-khattab. Makam yang menempatkan jasad Nabi merupakan rumah tempat tinggalnya manakala taman Raudhah adalah mimbar Nabi, tempat baginda selalu beribadat kepada Allah dan juga merupakan salah satu taman-taman syurga. Maka, itulah sebabnya taman Raudhah ini dikatakan tempat yang maqbul doa. Disebabkan itu, ramai manusia akan berebut-rebut untuk bersolat dan berdoa di sini. Sewaktu berada di sini, perbanyakkan doa "Rabbi yassir wala tu'assir watammim bilkahir" supaya mudah untuk memasuki Raudhah. Alhamdulillah, aku diberi kemudahan untuk memasuki Raudhah sebanyak dua kali dan sempat bersolat di saf paling hadapan.
|
Suasana di dalam Raudhah yang penuh dengan jemaah wanita |
Oleh kerana Raudhah merupakan ruang solat lelaki, maka ia dibuka untuk wanita pada waktu yang tertentu sahaja iaitu pada setiap hari selepas waktu dhuha, selepas zohor dan selepas insyak. Untuk memasuki Raudhah hendaklah mengikut gilian yang diawasi oleh polis wanita mengikut negara. Malaysia di kira negara Asia termasuk Singapura, Indonesia, dan Brunei. Waktu yang paling senang untuk masuk adalah selepas waktu dhuha. Tak perlu pergi terlalu awal kerana kebiasaannya giliran negara-negara asia memasuki Raudhah adalah pukul 10.30 pagi. Raudhah akan ditutup semula pada pukul 11 pagi. Berusahalah untuk pergi ke saf paling hadapan supaya senang bersujud. Berdoalah sebanyak-banyaknya semasa setiap kali sujud, bukan semasa sujud terakhir sahaja. Aku sempat masuk ke Raudhah dua kali dan berpeluang untuk bersolat di saf hadapan sekali. Peluang itu manfaatkan sepenuhnya dengan memohon diperkenankan hajat terbesar dalam hidupku. Semoga Allah perkenankan dan izinkan. Ameen.
|
Karpet hijau di taman Raudhah |
|
Makam Nabi dan sahabat baginda |
|
Makam Nabi terletak betul-betul di bawah kubah hijau ini |
Di Masjid Nabawi juga disediakan air zam-zam. Minumlah sepuas-puasnya. Boleh juga bawa botol untuk diisi dan dibawa balik ke hotel. Sebelum minum, niatlah untuk apa sahaja seperti untuk merawat penyakit dan sebagainya kerana Nabi s.a.w bersabda, "Air zam-zam, bergantung kepada niat orang yang meminumnya.." Maka aku berniat untuk sentiasa awet muda dan cantik jelita.hehe...
|
Air Zam-zam |
Di setiap pintu masuk Masjid Nabawi setiap kali selepas solat 5waktu, ada ramai peniaga yang menjual baju, jubah, dan bermacam-macam benda di depan pintu masjid. Ketika itu boleh lihat peniaga-peniaga melambung baju-baju sambil menjerit "Khomostash (lima belas)..." "Salasin (tiga puluh)...." "Dua puluh..." dan macam-macam lagi. Peniaga-peniaga ini menjual barangan dengan harga yang sangat murah. Sebagai contoh jubah lelaki dijual dengan harga 10 riyal sahaja dengan kualiti yang bagus. Jubah wanita dengan harga 15 riyal sahaja tetapi kena pandai memilih sebab banyak yang terlalu besar, ada yang koyak, dan ada juga yang singkat. Di bawah hotel pun banyak terdapat kedai-kedai yang menjual barangan lain dengan harga yang juga murah. Pendek kata shoppinglah banyak-banyak di Madinah sebab di mekah jubah lelaki yang pattern dan kualiti yang sama dijual dengan harga dua kali ganda iaitu 30 riyal! Lagipun kita boleh fokus kepada ibadah umrah semasa di Mekah nanti.
|
Di hadapan pintu Masjid Nabawi |
Semasa di Madinah, kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Quba, Jabal Uhud, ladang kurma dan juga kedai-kedai kurma. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w sebaik sahaja tiba di Madinah semasa penghijrahan baginda bersama orang-orang mukmin.
|
Masjid Quba' |
Jabal Uhud pula merupakan tepat perang Uhud yang mengorbankan ramai nyawa sahabat-sahabat baginda antaranya Hamzah asadullah akibat tentera muslimin yang dikaburi harta tawanan perang pada waktu itu. Jasad Hamzah dikebumikan di kaki bukit Uhud bersama beberapa shahidin yang lain. Beberapa tahun selepas kejadian tersebut, kawasan perkuburan tersebut dilanda banjir yang besar sehingga menyebabkan jasad-jasad kembali terapung bersama darah yang masih merah melekat di pakaian jenazah. Semua jenazah tersebut dikebumikan semula tidak jauh dari tapak perkuburan yang asal.
|
Jabal Uhud |
Hari kelima di Madinah, kami berangkat untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah. Kami menaiki bas ke Masjid Bir Ali untuk berniat umrah di miqat. Jarak dari Madinah ke Mekah lebih kurang 450 km yang mengambil masa lebih 5 jam. Kami tiba di Kota Mekah pada waktu malam sekitar jam 11 malam. Dari jauh kelihatan Menara Jam atau juga dikenali sebagai Zam-zam Tower yang menjadi mercu tanda Kota Mekah. Berbeza dengan Madinah, cuaca di Mekah agak panas sehingga mencecah 36°C.
|
Di dalam kawasan Masjid Bir Ali |
|
Di dalam kawasan Masjid Bir Ali |
|
Masjid Bir Ali |
Sebaik sahaja sampai di hotel, kami terus mengangkat luggage dan berwuduk kemudian terus turun ke lobi untuk berkumpul sebelum menunaikan umrah bersama mutawif. Kebiasaannya mutawif akan membawa jemaah sebanyak 3x umrah. Untuk yang pertama kali, ikutlah mutawif sambil memahami, dan memerhati keadaan sekeliling. Untuk umrah kedua dan ketiga boleh buat sendiri mengikut keselesaan masing-masing kerana biasanya mutawif jalan dengan agak laju dan non-stop. Untuk selesaikan umrah dari tawaf, saie sehingga tahallul memang akan mengah dan penat.
|
Kaabah |
Ibadat umrah sebenarnya senang, cuma memerlukan tenaga/stamina especially kekuatan kaki untuk berjalan. Selepas berniat di miqat, Umrah di kaabah dimulakan dengan bertawaf mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja. Selesai tawaf boleh solat sunat tawaf dan berehat sekejap sambil minum air zam-zam. Kemudian menuju ke tempat saie yang bermula di Bukit Safa. Dari tempat tawaf ke tempat saie tidak terlalu jauh dalam 200 meter. Seterusnya melakukan saie sebanyak 7 kali iaitu 3.5 pusingan yang berakhir di Bukit Marwah yang mengambil masa sejam sehingga sejam setengah. Jarak antara bukit safa ke bukit marwah agak jauh iaitu lebih 400 meter. Untuk menyelesaikan saie memang terasa sakit kaki dan betis. Sebaik sahaja tamat saie yang ke 7 kali, boleh terus bertahallul dengan menggunting hujung rambut sekurang-kurangnya 3 helai.
|
Tempat untuk memulakan saie di Bukit Safa |
Sehari selepas umrah pertama, kami diberi rehat. Badan terasa penat sangat-sangat. Aku rehat secukupnya sepanjang hari itu kerana keesokannya akan ada umrah kedua. Untuk umrah kedua, mutawif membawa ke luar tanah haram menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Bukit Thur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Mina, dan lain-lain. Akhir sekali kami berniat umrah sunat/badal di Ja'ranah sebelum kembali ke Mekah untuk terus melakukan umrah kedua. Jaranah merupakan tempat Nabi s.a.w dan sahabat berniat umrah selepas selesai perang Hunain. Bayangkan belum sempat hilang lelah selepas bertempur, Nabi dan para sahabat masih lagi kental menunaikan umrah.subhanallah...
Bukit Thur yang di puncaknya terdapat gua Thur seperti mana yang kita tahu merupakan tempat Nabi Muhammad dan sahabat baginda Saidina Abu Bakar bersembunyi semasa hendak berhijrah ke Madinah. Di gua inilah terbukti kesetiaan dan kasih sayang seorang sahabat kepada baginda yang sanggup menahan sakit disengat kala jengking demi melindungi Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar mehanan sakit sehingga menitik air matanya dan jatuh ke pipi Nabi s.a.w.
|
Jabal Thur |
Di Padang Arafah pula tempat para Jemaah Haji berkumpul sebelum bermalam di Mina bagi menyempurnakan rukun haji. Di Padang Arafah ini terletaknya Jabal Rahmah, tempat Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan khutbah terakhir sebelum baginda wafat. Jabal Rahmah juga dikatakan tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa selepas dihantar ke Bumi. Mungkin peristiwa inilah yang menjadi simbolik sebagai tempat untuk meminta dipertemukan jodoh. Di sini tak semestinya orang bujang sahaja yang perlu berdoa untuk jodoh. Orang yang dah bertemu jodoh juga boleh berdoa semoga jodohnya berkekalan.insyaAllah.
|
Di hadapan Jabal Rahmah |
Pada keesokan harinya mutawif membawa kami ke Masjid Aisyah di Tana'im untuk berniat umrah ketiga. Kali ini tiada ziarah, terus kembali ke mekah dan selesaikan umrah. Jarak tana'im lebih kurang 5 km sahaja dari Mekah. Ia merupakan tanah halal yang paling dekat. Tana'im merupakan tempat Aisyah berniat umrah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.
|
Masjid Aisyah di Tana'im |
Selain ziarah yang diaturkan dalam program, terdapat juga ziarah tambahan ke Hudaibiyah dan juga mendaki Jabal Nur untuk ke Gua Hira' dengan bayaran tambahan sebanyak 25 riyal. Aku memilih untuk mendaki Jabal Nur. Pendakian bermula pada jam 10 malam. Aku tiba di puncak Jabal Nur sejam kemudian. Gua Hira bukanlah terletak betul-betul di puncak Jabal Nur, tetapi berada di lereng bukit yang memerlukan pendaki menuruni semula trek dari puncak lebih kurang 5 meter ke bawah. Di sepanjang laluan bukit ini terdapat ramai peminta sedekah. Mereka adalah orang-orang pakistan dan pendatang dari negara lain yang membuat tangga untuk mendaki sehingga ke puncak bukit. Pendakian bukit ini agak berbahaya kerana bukit ini sangat curam. Gua Hira' sebenarnya celahan batu yang memuatkan seorang sahaja untuk bersolat di situ. Dari puncak Jabal Nur kelihatan Kota Mekah dan sekelilingnya yang disinari cahaya lampu, subhanallah, sangat indah...
|
Pemandangan Kota Mekah dari puncak Jabal Nur |
|
Gua Hira' |
Tinggal dua hari terakhir di Mekah, terasa sangat cepat masa berlalu. Ketika ini dah banyak masa free. Jadi aku manfaatkan dengan mengerjakan tawaf sunat, ronda-ronda sekitar Masjidil Haram, masuk dan bersolat di Hijir Ismail dan sebagainya. Aku cuba manfaatkan masa yang ada untuk solat di hadapan kaabah. Terasa sangat damai dapat melihat kaabah di depan mata. Solat di sini akan mendapat ganjaran sebanyak 100,000 kali ganda. Allah juga menurunkan 120 rahmat ke atas kaabah setiap hari iaitu 60 untuk orang bertawat, 40 untuk orang bersolat dan 20 untuk orang yg memandang kaabah. Di sini boleh solat sepanjang masa, tiada waktu yang haram untuk solat sebagaimana di tanah halal iaitu selepas subuh dan selepas asar.
Hijir Ismail merupakan salah satu tempat yang mustajab doa. Ia merupakan sebahagian daripada bangunan Kaabah. Diceritakan suatu ketika dahulu, bangunan Kaabah adalah berbentuk D iaitu bangunan sekarang sehingga Hijir Ismail. Pada suatu ketika, Kaabah runtuh akibat bajir besar kemudian dibangunkan semula oleh penduduk Mekah. Walaupun ketika itu penduduk Mekah belum lagi beragama Islam, namun mereka membina Kaabah dengan meggunakan harta yang halal. Oleh kerana sumber yang halal tidak dapat menampung kos untuk membaik-pulih Kaabah, maka mereka membangunkan sehingga bentuknya seperti yang kota dapat lihat sekarang.
|
Hotel Hilton yang terletak betul-betul di hadapan pintu masuk Masjidil Haram |
|
Clock Tower@ Zam-zam Tower |
|
Pintu Utama ke Masjidil Haram |
Selain Hijir Ismail, antara tempat lain yang dikatakan mustajab doa adalah di hadapan pintu Kaabah, di bucu hajarul aswad sehingga pintu Kaabah yang dikenali sebagai Multazam, di bawah pancur emas iaitu di dalam Hijir Ismail, di tempat saie iaitu antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dan juga ketika melakukan tawaf.
Maka berakhirlah Kembara Haramain kali ini. Semoga catatan ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk sesiapa yang bakal mengerjakan umrah buat kali pertama. Ia juga sebagai rujukan buat diriku untuk masa akan datang seandainya dijemput sekali lagi atau berkali-kali lagi untuk menjadi tetamuNya di sana.insyaAllah...
Sebagai penutup, aku senaraikan di bawah segala dokumen yang diperlukan dan perkara yang perlu dilakukan sebelum bertolak ke Tanah Haram.
- Salinan Sijil Nikah bagi pasangan suami isteri bersama cop pengesahan oleh Pejabat Agama dan Wisma Putra
- Salinan Sijil Lahir bagi wanita yang pergi bersama mahram bersama cop pengesahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra
- Sijil Suntikan Meningritis. Suntikan ini bertahan untuk 5 tahun dan berharga RM150~RM180.
- Passport antarabangsa. Bayaran untuk membuat passport yang baru adalah RM200 untuk 5 tahun. Bagi warga emas hanyalah RM100 sahaja.
Semoga kita semua dijemput untuk menjadi tetamuNya di sana. Dan semoga aku dan kedua ibubapaku dikurniakan umrah yang mabrur dan maqbul. Semoga aku direzekikan untuk menjadi tetamu Allah buat kesekian kalinya selepas ini.ameen...