Monday, March 25, 2013

Umpama Layang-Layang

Mendongak ke langit biru yang indah, terlihat beberapa layang-layang terbang tinggi. Kelihatan sungguh indah berwarna-warni dan berbagai bentuk. Dari jauh ia kelihatan bebas berterbangan. Tetapi pada hakikatnya ada seutas tali yang mengikatnya. Tali tersebut bukan untuk menghalang layang-layang itu terbang, tetapi ia merupakan panduan dan limit setinggi mana dan sejauh mana ia boleh terbang bebas. 

Setiap kali layang-layang itu leka dan terbang sedikit jauh, tali itu akan ditarik perlahan-lahan supaya ia turun ke bawah sedikit dan tidak terbang ke arah pokok. Sekiranya dibiarkan layang-layang itu terbang semakin jauh, tak mustahil ia akan terlekat di ranting-ranting pokok. Pada ketika itu, tiada gunanya lagi kita menariknya kerana sudah pasti ia akan koyak dan patah. Begitu juga ketika ia leka terbang semakin tinggi, kita tidak boleh menariknya dengan kuat, tetapi perlu menarik talinya dengan perlahan-lahan supaya tidak koyak dan patah.

Kita sebagai manusia juga sentiasa ingin hidup bebas. Tak suka dikongkong, tak suka dihalang. Tetapi setiap kebebasan ada limitnya. Seharusnya kita juga seperti layang-layang yang perlu diikat dengan seutas tali. Tali yang mengikat kita itu ialah sahabat-sahabat kita atau keluarga kita. Kita memerlukan keluarga dan sahabat-sahabat untuk menegur kita di saat kita terleka. Kebebasan itu sangat indah tetapi melekakan. Kebebasan itu jualah yang membinasakan kita seandainya kita terlalu menurut hawa nafsu. 

Kita sebagai manusia kadang-kadang tidak sedar bahawa kita sedang terleka dengan keindahan hidup. Kita kadangkala tidak sedar bahawa kita sedang menuju kemusnahan. Pada saat itulah keluarga dan sahabat-sahabat perlu menyedarkan kita dengan menarik kita perlahan-lahan. Nasihat dan kata-kata yang diberi dengan penuh kelembutan dan kasih sayang akan melembutkan hati kita untuk mengikuti nasihat mereka. Sekiranya kita ditegur dengan kasar dan herdikan serta hinaan, pasti kita merasa kecewa dan patah hati. 

Tali yang mengikat kita mungkin juga bermaksud pasangan hidup kita. Sebagai pasangan hidup, sudah pasti kita sangat menyayanginya. Sebab itu kita mengikatnya supaya ia tidak jauh dari kita. Tetapi kita tidak boleh terlalu menghalang kebebasannya. Juga tidak boleh terlalu membiarkannya terlampau bebas. Sudah menjadi tanggungjawab suami untuk menegur isteri sekiranya melampaui batas syariat agama. Tetapi suami juga tidak boleh mengurung isteri di rumah tanpa apa-apa pendedahan ilmu agama dan ilmu duniawi. Isteri juga berhak menegur kesalahan suami dengan berhikmah dan bijaksana. 

Seandainya kita tiada sesiapa yang layak menjadi tali peringatan, carilah tali keimanan dan berpeganglah dengan tali Allah, insyaAllah tali Allah tidak akan putus selagimana kita berpegang teguh padanya. Di saat kita terleka, tali keimanan itu akan menarik kita ke alam kesedaran, kembali ke landasan syariatNya. Itulah dia sebaik-baik tali untuk mengikat diri kita yang umpama layang-layang. 

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin