Thursday, May 23, 2013

Dikejar dan Dikendong

Pepatah melayu "yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran" melambangkan sifat malang kerana ketamakan. Di saat kita sedang mengejar sambil mengendong sesuatu, tiba masanya kita akan merasa penat dan berhenti rehat seketika. Di saat itu mungkin secara tak sengaja kita teringat yang kita juga sedang mengendong sesuatu. Lantas tangan kita terus meraba-raba dan mencari-cari sesuatu yang dikendong selama ini. Ketika itulah, kita akan tersedar dan menghargai apa yang ada dalam kendongan dan terus muhasabah diri, tiada guna mengejar sesuatu yang belum pasti sedangkan kita telah punya sesuatu yang sudah pasti menjadi milik kita yang sepatutnya dihargai dan disayangi. 

Sekiranya apa yang dikendong sudah tercicir, tiada salahnya untuk kita berpaling ke belakang dan kembali mendapatkannya. Mungkin kita rasa mudah untuk mendapatkan kembali apa yang telah tercicir. Lebih malang lagi sekiranya kita langsung tidak kesal dengan keciciran itu dan meneruskan langkah untuk terus mengejar yang di hadapan. Lama-kelamaan, bila kita sudah rasa terlalu penat dan harapan semakin kabur, barulah kita teringat kembali tentang sesuatu yang telah tercicir yang kita sangkakan tidak berguna. Di saat itu mungkin sudah agak terlewat untuk kita berpatah balik kerana sesuatu yang kita cicirkan itu mungkin sudah dikutip oleh orang lain. Lumrah manusia, bila kehilangan barulah akan rasa menyesal. 

Tapi mungkin kita rasa lebih malang sekiranya yang dikejar tak dapat, dan dalam masa yang sama tidak ada apa dalam kendongan. Maksudnya kita tidak memiliki apa-apa untuk disyukuri dan dihargai. Keadaan inilah yang menjadikan kita tersungkur tak terbangun lagi. Untuk bangkit berdiri pun kita tidak berdaya, apatah lagi untuk terus mengejar. Di saat itu mungkin kita rasa telah bertemu dengan garisan penamat usaha. Sudahnya, cukuplah sampai di sini sahaja....

Namun apabila kita berfikir secara positif, kita patut bersyukur kerana tidak memiliki sesuatu dalam kendongan. Kerana mungkin apa yang dimiliki  itu boleh membawa kita kepada kemusnahan. Kita mungkin berbangga dengan apa yang kita miliki tetapi hanya Allah yang tahu sesuatu yang kita miliki itu boleh megheret kita ke lembah kebinasaan suatu hari nanti. Bersyukurlah kerana tidak memiliki, kerana memiliki memerlukan persediaan, pengorbanan dan tanggungjawab yang berat yang mana mungkin buat masa sekarang kita belum mampu untuk mengahadapinya. 

Untuk sesuatu yang dikejar pula, kita tidak tahu samaada kita layak atau tidak untuk memilikinya. Dan berbaloi atau tidak untuk kita mengejar dan terus mengejar. Apa yang dapat kita lakukan hanyalah memohon petunjuk dariNya, semoga ditunjukkan jalan yang terbaik untuk memilih antara "terus mengejar dan melepaskan apa yang dikendong" atau "berhenti mengejar dan menghargai apa yang dikendong" ataupun "bersyukur kerana tidak memiliki sambil mencari alternatif lain"

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin