Sunday, December 30, 2012

Sepi itu indah

Di saat kedengaran hilai tawa insan sekeliling, terselit rasa kesunyian di hati kita. Kesunyian, kesuraman dan kesedihan tanpa mengetahui apa puncanya. Diri kita seolah-olah terhijab dari insan sekeliling, seolah-olah kita berada di dunia lain. Dunia yang teramat sepi dan kaku. Hanya kita yang melangkah mengikut rentak kaki, tanpa tahu tujuan. Hati kita rasa kosong. Tiada terpalit apa-apa rasa. Hanya kosong dan sepi...

Tanpa kita sedari, acapkali kita rasa begitu. Kita mungkin pernah terfikir, kenapa kita seringkali rasa begitu. Tapi pernah tak kita berfikir lebih mendalam atau dengan kata lain muhasabah diri kita? Kenapa Allah selalu menghijabkan diri kita daripada insan sekeliling kita dengan menghadirkan rasa sepi itu?

Kita rasa kosong, tapi tak bermakna kita sedang bersedih. Kita cuma hidup tanpa perasaan. Mungkin selama ini kita banyak simpan rasa dendam dalam hati kita. Rasa iri hati serta riak, tapi suatu ketika tiba-tiba perasaan itu hilang. Tahu tak di saat itu, sebenarnya mungkin Allah sedang membersihkan hati kita. Allah sedang memberikan kita nafas baru.


Kita rasa sepi, tapi bukan kerana kita tidak berteman. Kita cuma terhijab dan terasa terasing. Sedangkan insan di sekeliling kita tidak pernah menyingkirkan kita. Kadangkala kita mencari insan lain untuk menghilangkan rasa itu. Seolah-olah insan yang sekian lama berada di samping kita sudah tidak berharga di saat itu. Ketika itu, sedarkah kita, bukan insan sekeliling yang tidak mempedulikan kita, tapi kita sendiri yang membawa diri, kita sendiri yang mencipta jurang dalam hubungan dengan mereka. Cubalah muhasabah diri kita, adakah mereka yang silap? atau kita sendiri yang mencari kesilapan yang sememangnya berpunca dari kita sendiri? 

Begitu juga di saat kita sedang bersedih. Kita rasa kesunyian biarpun ramai sahabat-sahabat kita hadir memberikan kita nasihat dan kata-kata semangat. Tapi kita masih lagi rasa sepi. Tahu tak kenapa di saat itu sepi masih membelenggu kita? Ini kerana Allah lah yang mencampakkan rasa sepi itu agar kita sebagai hamba Allah kembali mengadu kepadaNya. Allah rindu untuk mendengar rintihan kita. Tapi kenapa kita masih mengharapkan sepi itu berlalu dengan sendirinya. Atau kita seringkali meluahkan rasa sepi itu kepada insan yang tidak sepatutnya. Kenapa kita tidak mengharapkan kekuasaan Pencipta kita untuk memadamkan rasa sepi itu? sedangkan kita tahu bahawa Allah lah yang lebih memahami kita di saat itu.

Pergilah sepi.. itu yang selalu kita harapkan. tapi percayalah sepi itu takkan berlalu, kerana kita sendiri yang sentiasa menyerunya. Kita sendiri yang menyerunya dengan mengasingkan diri, melayan perasaan yang entah di mana penghujungnya. Sepi itu indah, andai kita kita menyandarkan rasa sepi itu dengan seringkali mengadu kepadaNya. Hanya dengan sepi, kita selalu ingat kepadaNya..

Monday, December 24, 2012

Ada Apa Dengan Fitnunnisak?

Fitnunnisak - dah lebih 7 tahun aku guna nama ni sebagai nama pena aku.. blog, email, FB dan lain-lain..semua aku guna nama ni... aku sangat selesa dan terinspirasi dengannya... tapi ramai jugak yang tanya apa maksud nama ni dan jugak apa makna di sebalik nama pena ni?

Baru tiga bulan lepas, timbul lagi persoalan. Apa maksud Fitnunnisak? kalau translate ke dalam Bahasa Arab, maksudnya macam wanita yang difitnah. Fuh, sangat kontroversi rupanya nama ni.. Ok, memang diakui Fitnunnisak bermaksud wanita yang difitnah TETAPI sekiranya dieja فتن النساء. Sekiranya dieja فطن النساء maksudnya ialah wanita yang bijaksana.
Aku menggunakan Fitnunnisak dengan ejaan فطن النساء dengan berinspirasikan cita-cita untuk menjadi wanita yang bijaksana serta solehah. itulah yang sebenarnya simbolik di sebalik nama pena ni. Kerana wanita yang bijaksana bukan sahaja berjaya di dunia, namun berjaya di akhirat kerana dia akan dapat berfikir dengan bijaksana untuk menyeimbangkan keperluan dunia dan juga akhirat. 

Wanita yang bijaksana pandai membawa diri, pandai menjaga maruah diri, tidak mudah tertipu dengan keindahan dunia yang sementara. Wanita yang bijaksana juga tidak akan ternoda dengan cinta palsu dan plastik yang hanya berlandaskan nafsu serakah. Wanita bijaksana juga tidak hanyut dengan arus kemodenan yang semakin jauh dari ajaran Islam dan semakin menghampiri wanita jahiliah. 

Itulah dia inspirasi wanita yang bijaksana. Aku berharap dan berusaha untuk merealisasikan 'Fitnunnisak' bukan sebagai nama pena semata-mata, tapi sebagai pembakar semangat dan cita-cita. Semoga Allah sentiasa membimbing diriku agar tidak tersasa dari landasan syariatNya. InsyaAllah... 

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin