Wednesday, September 24, 2014

Kisah Pokok Pisang

Suatu ketika dahulu, ramai orang menanam pokok pisang. Orang sekeliling aku pun ramai yang tanam sampai berbuah lebat, masak ranum dan sangat sedap dimakan. Aku pun memang teringin juga nak tanam, tapi masa tu rasa belum tiba masanya. Jadi aku cuma mendengar dan mendapatkan ilmu bagaimana nak menjadikan pohon pisang kita tanam tu dapat menghasilkan buah yang sangat sedap.

Bila tiba masa yang sesuai, aku mula menanam pokok pisang. Aku siram setiap hari. Aku pilih baja yang aku rasakan terbaik. Tak lama lepas tu, pokok pisang yang aku tanam mengeluarkan jantungnya. Jantungnya sangat elok, besar dan kelihatan berkilat-kilat, cantik. Orang sekeliling pun ramai yang memuji jantung pisang aku sangat elok, terbaik. Secara tak langsung, ia menjadikan harapan aku untuk mendapatkan buah pisang yang sangat sedap semakin meninggi.

Tak lama lepas tu, jantung pisang mengeluarkan buah pisang. Tetapi sungguh menghampakan. Buahnya terlalu lemah dengan sinaran mentari. Ia akhirnya membusuk sebelum sempat masak kekuningan. Aku sangat kecewa kerana ia adalah cubaan pertama aku. Sungguh aku tak dapat terima kenyataan jangtung pisang yang elok tapi menghasilkan buah yang buruk.

Pada mulanya aku ingin menebang terus pokok pisang itu dek kerana terlalu kecewa. Tapi rasa tak sanggup. Lantas kubiarkan pokok pisang terbiar begitu sahaja. Kemudian, datang beberapa orang menasihatiku. Ada yang sanggup menyedarkan kealpaan aku yang terlalu berangan-angan tinggi melangit. Sungguh aku tak lupa pada pesanan supaya menjaga kesuburan tanah kerana kesuburan tanah juga memainkan peranan untuk mendapatkan buah pisang yang sedap. Rupa-rupanya selama ini aku kurang memberi tumpuan pada tanah, aku hanya fokus pada pokok pisang sahaja. Barulah aku nampak kesilapan aku selama ini.

Tanpa membuang masa, aku terus membajak dan menggemburkan tanah. Tanpa ku duga, pokok pisang yang kubiarkan itu tiba-tiba mengeluarkan jantungnya. Kali ini lebih besar dan lebih cantik daripada yang sebelumnya. Pada mulanya aku ragu-ragu dan prejudis kerana teringatkan pepatah melayu yang tidak menginginkan pisang berbuah dua kali. Mungkin ia bermaksud yang tak baik. Jadi, aku tidak pedulikan sangat mengenai jantung pisang tersebut. Aku terus memberikan perhatian pada struktur dan kesuburan tanah.

Kemudian, buah pisang mula keluar daripada jantungnya. Kali ini buahnya sangat lebat, kulitnya licin, buahnya besar-besar. Melihatkan hasil buah tersebut, barulah aku mula kembali yakin akan mendapatkan buah yang sedap bila masak nanti. Sungguh tak sabar ku menanti pisang tersebut masak ranum. Oleh kerana terlalu teruja, tanpa kusedari, aku telah memberikan baja yang berlebih-lebihan kepada pokok pisang tersebut. Kusiram lebih banyak air dan kusuntik dengan hormon khas untuk buah pisang. Aku benar-benar menjaga pokok pisang dan sangat berharap usaha kali ini berjaya. Namun akhirnya pokok pisang menjadi tepu dengan baja dan buah pisang menjadi layu dan membusuk lalu terus gugur ke bumi.

Sungguh aku kecewa namun kekecewaan kali pertama dulu sedikit sebanyak telah menjadikan aku seorang yang kuat dalam menghadapi kekecewaan kali kedua malah mungkin untuk kali yang ke seterusnya. Aku kecewa dan sukar terima hakikat sama seperti dulu, cuma aku lebih rasional kali ini. Aku cuba untuk terus membajak tanah dan terus menggemburkan tanah seperti biasa.

Dalam tempoh aku sibuk menjaga tanah, aku memang perasan pokok pisang kembali mengeluarkan jantung seterusnya mengeluarkan buah untuk kali ketiga. Namun aku cuba buat-buat tak nampak kerana aku tak nak kecewa lagi, pisang berbuah dua kali pun orang tak nak, apatah lagi berbuah tiga kali. Lagilah orang tak nak. Buah pisang kali ini kelihatan sama menarik seperti yang sebelum ini cuma kulitnya tidak begitu licin seperti buah yang kedua. Tetapi entah kenapa ramai orang cakap buah seperti inilah yang terbaik. Ramai orang ingin mendapatkannya.

Oleh itu, aku mula buat sedikit kajian dan perbandingan dan akhirnya mendapati memang buah yang kulitnya sedikit berkarat mempunyai isi yang sangat sedap, lemak dan manis. Di atas kelebihan tersebut, aku mula menyukai buah pisang tersebut dan kembali menjaganya, namun tidak berlebih-lebihan seperti dulu. Aku takut untuk berangan-angan dan berharap lagi. Aku cuma buat yang terbaik dalam menjaga tanah, menyiram dan membaja.

Tak lama kemudian, aku nampak buah pisang mula kekuningan. Oleh kerana aku sudah menanti terlalu lama, aku tidak dapat bersabar lagi lalu terus memetik buah pisang tersebut. Aku sangka ia sudah betul-betul masak namun sangkaanku meleset kerana buah pisang tersebut sebenarnya belum cukup masak. Pisang yang belum cukup masak rasanya tawar dan cepat membusuk. Akhirnya aku kecewa lagi. Harapan aku untuk mendapatkan buah pisang sedap tidak tercapai hingga kini.

Oleh kerana terlalu kecewa dengan nasib diri, aku tanpa berfikir panjang terus menebang pokok pisang tersebut. Ku buang sehingga ke akar umbinya. Aku nekad tidak akan menanam pisang lagi. Tanah kuratakan dan kudirikan rumah di atasnya. Semoga dengan terdirinya rumah ini dapat memberikan perlindungan kepadaku dan orang-orang lain setiap masa. Biarlah orang kata banyak lagi peluang untuk mendapatkan buah pisang yang elok, tapi aku benar-benar pasrah kini. Andainya takdir menyebelahiku, mungkin akan ada orang yang sanggup menanam dan memberikan buah pisang yang aku dambakan itu suatu hari nanti. Aku hanya pasrah...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin