Thursday, May 19, 2016

Di Sebalik Tabir Nikmat

Pada kebiasaannya, Allah memberikan sesuatu anugerah buat hamba-Nya yang jauh dari-Nya sebagai istidraj. Namun kadangkala, Allah mengurniakan sesuatu anugerah kepada hamba-Nya yang semakin jauh dan berputus-asa dengan-Nya sebagai hadiah yang membuatkan kita tersentap. 

Di saat kita mulai berputus asa kerana merasakan Allah jauh dari kita, Allah tak sudi mendengar dan mengabulkan permintaan kita yang sudah bertahun-tahun lamanya kita meminta, namun tiba-tiba Allah mengurniakan sesuatu yang lain, yang benar-benar membuatkan kita tersentak dan tersedar bahawa Allah sebenarnya tak jauh dari kita. Allah sentiasa mendengar rintihan kita..cuma kita yang mudah merajuk, mudah berputus asa. Lantas, atas dasar kasih sayang Allah, Dia mengurniakan kita nikmat bagi memujuk kita untuk kembali mendekatiNya..

Lumrah manusia, nikmat yang dikurniakan jarang disyukuri. Kalau pun disyukuri, ianya sekejap cuma. Kita lebih fokus kepada impian dan harapan kita yang kita rasakan itulah nikmat yang sebenar-benarnya yang kita perlukan. Padahal kita sebenarnya tidak tahu adakah nikmat yang kita harapkan itu benar-benar baik buat kita, baik buat masa depan kita. Itulah sebabnya kadang-kala kita masih lagi tidak bersyukur dengan nikmat yang kita dapat walaupun nikmat yang diperolehi dikagumi dan diharapkan oleh orang lain di sekeliling kita.


Begitulah di sebalik tabir nikmat, tersingkap kasih sayang Allah yang tak pernah jauh dari hamba-Nya. Cuba kita singkapi tabir nikmat anugerah Allah, nescaya ia lebih dari cukup untuk kita terus mendekatiNya...

Saturday, May 7, 2016

Glass Ceiling

Glass Ceiling - "Term used to describe the unseen, yet unbreakable, barrier that keeps one from rising to the upper rungs of the corporate ladder, regardless of qualifications or achievements." - wikipedia.

Kita mendongak ke langit biru nan indah dan berangan-angan untuk terbang dan menggapainya. Berbekalkan sedikit persiapan, kita mula terbang melayang-layang...semakin tinggi dan semakin tinggi...tiba-tiba...

"Gedegang!!!" Oppsss....ada kaca rupanya yang menghalang.


Dalam dunia korporat, mungkin kita rasa kita sudah cukup pengalaman, ilmu pengetahuan, pengaruh dan sebagainya. Segala bekalan ini kita harapkan dapat membawa kita ke puncak kejayaan...namun ada sesuatu yang menghalang kita untuk menembusinya. Mungkin ada kelemahan yang tanpa kita sedari menjadi penghalang. Mungkin cara kita yang tidak tepat atau tersilap langkah...Atau mungkin juga sebenarnya kita masih belum bersedia untuk berada di level yang diimpikan.

Dalam kehidupan, sesuatu yang indah kelihatan mudah untuk digapai. Namun yang realitinya tak semudah seperti yang digambarkan. Banyak perkara yang perlu kita korbankan demi memenuhi impian. Banyak ujian yang perlu ditempuhi bagi merasai kemanisan berada di puncak kejayaan.

Dalam kehidupan muslim, keindahan syurga tidak terungkap dengan kata-kata, tidak terkira nikmatnya berada di sana. Oleh yang demikian, ramai orang mengimpikan syurga, hidup bahagia di kelilingi bidadari/bidadara, bernaung di dalam mahligai yang indah dan berbagai lagi nikmat...namun tak ramai yang nampak banyaknya dosa yang sebenarnya menjadi penghijab kita untuk ke syurga.

Let's break the glasses! Marilah kita menuju ke puncak kejayaan. Perbaiki segala kekurangan dan kelemahan, muhasabah segala kesilapan diri. Ingat, puncak kejayaan kita adalah syurga. Jangan kita biarkan dosa menjadi penghijabnya.

Sunday, March 6, 2016

Kembara Haramain Feb 2016

Menjejakkan kaki ke Tanah Haramain buat kali pertama merupakan pengalaman yang terindah dan amat berharga bagi aku. Kembara ke tanah suci ini bukanlah kembara biasa-biasa seperti yang selalu kita lakukan di tempat lain. Kembara ini kadang-kala mendebarkan kerana kembara ini adalah kembara untuk bertemu dengan Pencipta kita, Allah Taala dan kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Kembara ini menggusarkan hati apabila mengenangkan diriku seorang pendosa yang menggalas segunung dosa dengan harapan akan diampunkan olehNya, ameen...

Kembara Haramain ini bermula pada 8 Feb 2016 dengan penerbangan Air Asia X pada jam 2.35 pagi di KLIA2 dan mendarat di Jeddah pada jam 7.30 pagi waktu Jeddah yang memakan masa 9 jam. Urusan imigresen di Jeddah biasanya memakan masa yang agak lama sekiranya terdapat banyak flight lain yang mendarat pada waktu yang sama. Namun alhamdulillah Allah permudahkan urusan kami kerana pada waktu itu hanya flight kami sahaja yang mendarat. Selepas selesai urusan imigresen dan mengambil luggage, kami terus menuju ke bas untuk meneruskan perjalanan ke madinah yang mengambil masa lebih kurang 6 jam. Jarak dari Jeddah ke Madinah adalah lebih kurang 250 km. Bagi mereka yang ada duit lebih bolehlah jimatkan masa dengan mengambil pakej penerbangan bersama Saudi Airlines atau Flynas kerana hanya dua flight ini sahaja yang boleh mendarat terus ke Airport Madinah. 

Perjalanan dari Jeddah ke Madinah dihiasi pemandangan bukit-bukit batu dan padang pasir di kiri dan kanan jalanraya. Jeddah merupakan tempat Hawa diturunkan dari syurga selepas melanggar larangan Allah daripada memakan buah khuldi. Semasa memasuki sempadan Kota Madinah, kelihatan terdapat tugu-tugu sempadan antara tanah halal dan tanah haram. Tak lama kemudian, tiang-tiang Masjid Nabawi mula kelihatan menerbitkan rasa teruja dan syukur kerana akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke kota ini. Kami menginap di Hotel tidak jauh dari Masjid Nabawi kira-kira 150 meter sahaja. Suhu dan cuaca pada waktu ini agak sejuk dan berangin sehingga mencecah 9°C pada waktu malam dan lebih kurang 18-24°C pada waktu siang.

Pemandangan di sepanjang jalan dari Jeddah ke Madinah
Masjid Nabawi merupakan masjid kedua yang dimuliakan Allah selepas Masjidil Haram. Solat di dalam masjid ini diganjarkan pahala 1000 kali ganda. Maka, solatlah di dalamnya, bukan di perkarangan masjid kerana solat di perkarangan masjid hanya mendapat pahala jemaah sahaja, bukan 1000 kali ganda pahala. Perkarangan Masjid Nabawi dihiasi payung yang cantik yang kebiasaannya dibuka pada waktu siang dan ditutup (kuncup) pada waktu malam. Ruang solat wanita di dalam masjid ini cepat penuh terutamanya pada waktu subuh. Maka masuklah ke dalam masjid setengah jam atau sejam sebelum masuk waktu solat. Sesiapa yang datang lambat akan dihalau oleh polis wanita yang memakai jubah dan purdah serba hitam sambil menjerit, "irji'ie, ma fi makan..." yang bermaksud, "kembalilah, sudah tiada tempat..." Maka solatlah diluar masjid. Adalah diingatkan bahawa ruang solat wanita tidak dibenarkan membawa masuk kamera bagi menjaga aurat wanita di dalam masjid. Polis akan memeriksa beg sebelum masuk ke dalam masjid. 

Ruangan solat wanita di dalam Masjid Nabawi 
Masjid Nabawi pada waktu malam
Dalam Masjid Nabawi
Perkarangan Masjid Nabawi
Di dalam Masjid Nabawi terdapat Taman Raudhah yang di dalamnya terdapat makam Nabi Muhammad s.a.w bersama dua sahabatnya Saidina Abu Bakar as-siddiq dan Saidina Umar al-khattab. Makam yang menempatkan jasad Nabi merupakan rumah tempat tinggalnya manakala taman Raudhah adalah mimbar Nabi, tempat baginda selalu beribadat kepada Allah dan juga merupakan salah satu taman-taman syurga. Maka, itulah sebabnya taman Raudhah ini dikatakan tempat yang maqbul doa. Disebabkan itu, ramai manusia akan berebut-rebut untuk bersolat dan berdoa di sini. Sewaktu berada di sini, perbanyakkan doa "Rabbi yassir wala tu'assir watammim bilkahir" supaya mudah untuk memasuki Raudhah. Alhamdulillah, aku diberi kemudahan untuk memasuki Raudhah sebanyak dua kali dan sempat bersolat di saf paling hadapan. 

Suasana di dalam Raudhah yang penuh dengan jemaah wanita
Oleh kerana Raudhah merupakan ruang solat lelaki, maka ia dibuka untuk wanita pada waktu yang tertentu sahaja iaitu pada setiap hari selepas waktu dhuha, selepas zohor dan selepas insyak. Untuk memasuki Raudhah hendaklah mengikut gilian yang diawasi oleh polis wanita mengikut negara. Malaysia di kira negara Asia termasuk Singapura, Indonesia, dan Brunei. Waktu yang paling senang untuk masuk adalah selepas waktu dhuha. Tak perlu pergi terlalu awal kerana kebiasaannya giliran negara-negara asia memasuki Raudhah adalah pukul 10.30 pagi. Raudhah akan ditutup semula pada pukul 11 pagi. Berusahalah untuk pergi ke saf paling hadapan supaya senang bersujud. Berdoalah sebanyak-banyaknya semasa setiap kali sujud, bukan semasa sujud terakhir sahaja. Aku sempat masuk ke Raudhah dua kali dan berpeluang untuk bersolat di saf hadapan sekali. Peluang itu manfaatkan sepenuhnya dengan memohon diperkenankan hajat terbesar dalam hidupku. Semoga Allah perkenankan dan izinkan. Ameen.

Karpet hijau di taman Raudhah
Makam Nabi dan sahabat baginda
Makam Nabi terletak betul-betul di bawah kubah hijau ini
Di Masjid Nabawi juga disediakan air zam-zam. Minumlah sepuas-puasnya. Boleh juga bawa botol untuk diisi dan dibawa balik ke hotel. Sebelum minum, niatlah untuk apa sahaja seperti untuk merawat penyakit dan sebagainya kerana Nabi s.a.w bersabda, "Air zam-zam, bergantung kepada niat orang yang meminumnya.." Maka aku berniat untuk sentiasa awet muda dan cantik jelita.hehe...

Air Zam-zam
Di setiap pintu masuk Masjid Nabawi setiap kali selepas solat 5waktu, ada ramai peniaga yang menjual baju, jubah, dan bermacam-macam benda di depan pintu masjid. Ketika itu boleh lihat peniaga-peniaga melambung baju-baju sambil menjerit "Khomostash (lima belas)..." "Salasin (tiga puluh)...." "Dua puluh..." dan macam-macam lagi. Peniaga-peniaga ini menjual barangan dengan harga yang sangat murah. Sebagai contoh jubah lelaki dijual dengan harga 10 riyal sahaja dengan kualiti yang bagus. Jubah wanita dengan harga 15 riyal sahaja tetapi kena pandai memilih sebab banyak yang terlalu besar, ada yang koyak, dan ada juga yang singkat. Di bawah hotel pun banyak terdapat kedai-kedai yang menjual barangan lain dengan harga yang juga murah. Pendek kata shoppinglah banyak-banyak di Madinah sebab di mekah jubah lelaki yang pattern dan kualiti yang sama dijual dengan harga dua kali ganda iaitu 30 riyal! Lagipun kita boleh fokus kepada ibadah umrah semasa di Mekah nanti. 

Di hadapan pintu Masjid Nabawi
Semasa di Madinah, kami dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah seperti Masjid Quba, Jabal Uhud, ladang kurma dan juga kedai-kedai kurma. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad s.a.w sebaik sahaja tiba di Madinah semasa penghijrahan baginda bersama orang-orang mukmin. 

Masjid Quba'
Jabal Uhud pula merupakan tepat perang Uhud yang mengorbankan ramai nyawa sahabat-sahabat baginda antaranya Hamzah asadullah akibat tentera muslimin yang dikaburi harta tawanan perang pada waktu itu. Jasad Hamzah dikebumikan di kaki bukit Uhud bersama beberapa shahidin yang lain. Beberapa tahun selepas kejadian tersebut, kawasan perkuburan tersebut dilanda banjir yang besar sehingga menyebabkan jasad-jasad kembali terapung bersama darah yang masih merah melekat di pakaian jenazah. Semua jenazah tersebut dikebumikan semula tidak jauh dari tapak perkuburan yang asal. 

Jabal Uhud
Hari kelima di Madinah, kami berangkat untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah. Kami menaiki bas ke Masjid Bir Ali untuk berniat umrah di miqat. Jarak dari Madinah ke Mekah lebih kurang 450 km yang mengambil masa lebih 5 jam. Kami tiba di Kota Mekah pada waktu malam sekitar jam 11 malam. Dari jauh kelihatan Menara Jam atau juga dikenali sebagai Zam-zam Tower yang menjadi mercu tanda Kota Mekah. Berbeza dengan Madinah, cuaca di Mekah agak panas sehingga mencecah 36°C. 

Di dalam kawasan Masjid Bir Ali
Di dalam kawasan Masjid Bir Ali
Masjid Bir Ali
Sebaik sahaja sampai di hotel, kami terus mengangkat luggage dan berwuduk kemudian terus turun ke lobi untuk berkumpul sebelum menunaikan umrah bersama mutawif. Kebiasaannya mutawif akan membawa jemaah sebanyak 3x umrah. Untuk yang pertama kali, ikutlah mutawif sambil memahami, dan memerhati keadaan sekeliling. Untuk umrah kedua dan ketiga boleh buat sendiri mengikut keselesaan masing-masing kerana biasanya mutawif jalan dengan agak laju dan non-stop. Untuk selesaikan umrah dari tawaf, saie sehingga tahallul memang akan mengah dan penat. 

Kaabah
Ibadat umrah sebenarnya senang, cuma memerlukan tenaga/stamina especially kekuatan kaki untuk berjalan. Selepas berniat di miqat, Umrah di kaabah dimulakan dengan bertawaf mengelilingi kaabah sebanyak 7 pusingan yang mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja. Selesai tawaf boleh solat sunat tawaf dan berehat sekejap sambil minum air zam-zam. Kemudian menuju ke tempat saie yang bermula di Bukit Safa. Dari tempat tawaf ke tempat saie tidak terlalu jauh dalam 200 meter. Seterusnya melakukan saie sebanyak 7 kali iaitu 3.5 pusingan yang berakhir di Bukit Marwah yang mengambil masa sejam sehingga sejam setengah. Jarak antara bukit safa ke bukit marwah agak jauh iaitu lebih 400 meter. Untuk menyelesaikan saie memang terasa sakit kaki dan betis. Sebaik sahaja tamat saie yang ke 7 kali, boleh terus bertahallul dengan menggunting hujung rambut sekurang-kurangnya 3 helai. 

Tempat untuk memulakan saie di Bukit Safa
Sehari selepas umrah pertama, kami diberi rehat. Badan terasa penat sangat-sangat. Aku rehat secukupnya sepanjang hari itu kerana keesokannya akan ada umrah kedua. Untuk umrah kedua, mutawif membawa ke luar tanah haram menziarahi tempat-tempat bersejarah seperti Bukit Thur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Mina, dan lain-lain. Akhir sekali kami berniat umrah sunat/badal di Ja'ranah sebelum kembali ke Mekah untuk terus melakukan umrah kedua. Jaranah merupakan tempat Nabi s.a.w dan sahabat berniat umrah selepas selesai perang Hunain. Bayangkan belum sempat hilang lelah selepas bertempur, Nabi dan para sahabat masih lagi kental menunaikan umrah.subhanallah...

Bukit Thur yang di puncaknya terdapat gua Thur seperti mana yang kita tahu merupakan tempat Nabi Muhammad dan sahabat baginda Saidina Abu Bakar bersembunyi semasa hendak berhijrah ke Madinah. Di gua inilah terbukti kesetiaan dan kasih sayang seorang sahabat kepada baginda yang sanggup menahan sakit disengat kala jengking demi melindungi Nabi Muhammad s.a.w. Saidina Abu Bakar mehanan sakit sehingga menitik air matanya dan jatuh ke pipi Nabi s.a.w. 

Jabal Thur
Di Padang Arafah pula tempat para Jemaah Haji berkumpul sebelum bermalam di Mina bagi menyempurnakan rukun haji. Di Padang Arafah ini terletaknya Jabal Rahmah, tempat Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan khutbah terakhir sebelum baginda wafat. Jabal Rahmah juga dikatakan tempat pertemuan semula Nabi Adam dan Hawa selepas dihantar ke Bumi. Mungkin peristiwa inilah yang menjadi simbolik sebagai tempat untuk meminta dipertemukan jodoh. Di sini tak semestinya orang bujang sahaja yang perlu berdoa untuk jodoh. Orang yang dah bertemu jodoh juga boleh berdoa semoga jodohnya berkekalan.insyaAllah.

Di hadapan Jabal Rahmah
Pada keesokan harinya mutawif membawa kami ke Masjid Aisyah di Tana'im untuk berniat umrah ketiga. Kali ini tiada ziarah, terus kembali ke mekah dan selesaikan umrah. Jarak tana'im lebih kurang 5 km sahaja dari Mekah. Ia merupakan tanah halal yang paling dekat. Tana'im merupakan tempat Aisyah berniat umrah selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. 

Masjid Aisyah di Tana'im
Selain ziarah yang diaturkan dalam program, terdapat juga ziarah tambahan ke Hudaibiyah dan juga mendaki Jabal Nur untuk ke Gua Hira' dengan bayaran tambahan sebanyak 25 riyal. Aku memilih untuk mendaki Jabal Nur. Pendakian bermula pada jam 10 malam. Aku tiba di puncak Jabal Nur sejam kemudian. Gua Hira bukanlah terletak betul-betul di puncak Jabal Nur, tetapi berada di lereng bukit yang memerlukan pendaki menuruni semula trek dari puncak lebih kurang 5 meter ke bawah. Di sepanjang laluan bukit ini terdapat ramai peminta sedekah. Mereka adalah orang-orang pakistan dan pendatang dari negara lain yang membuat tangga untuk mendaki sehingga ke puncak bukit. Pendakian bukit ini agak berbahaya kerana bukit ini sangat curam. Gua Hira' sebenarnya celahan batu yang memuatkan seorang sahaja untuk bersolat di situ. Dari puncak Jabal Nur kelihatan Kota Mekah dan sekelilingnya yang disinari cahaya lampu, subhanallah, sangat indah...

Pemandangan Kota Mekah dari puncak Jabal Nur

Gua Hira'
Tinggal dua hari terakhir di Mekah, terasa sangat cepat masa berlalu. Ketika ini dah banyak masa free. Jadi aku manfaatkan dengan mengerjakan tawaf sunat, ronda-ronda sekitar Masjidil Haram, masuk dan bersolat di Hijir Ismail dan sebagainya. Aku cuba manfaatkan masa yang ada untuk solat di hadapan kaabah. Terasa sangat damai dapat melihat kaabah di depan mata. Solat di sini akan mendapat ganjaran sebanyak 100,000 kali ganda. Allah juga menurunkan 120 rahmat ke atas kaabah setiap hari iaitu 60 untuk orang bertawat, 40 untuk orang bersolat dan 20 untuk orang yg memandang kaabah. Di sini boleh solat sepanjang masa, tiada waktu yang haram untuk solat sebagaimana di tanah halal iaitu selepas subuh dan selepas asar. 

Hijir Ismail merupakan salah satu tempat yang mustajab doa. Ia merupakan sebahagian daripada bangunan Kaabah. Diceritakan suatu ketika dahulu, bangunan Kaabah adalah berbentuk D iaitu bangunan sekarang sehingga Hijir Ismail. Pada suatu ketika, Kaabah runtuh akibat bajir besar kemudian dibangunkan semula oleh penduduk Mekah. Walaupun ketika itu penduduk Mekah belum lagi beragama Islam, namun mereka membina Kaabah dengan meggunakan harta yang halal. Oleh kerana sumber yang halal tidak dapat menampung kos untuk membaik-pulih Kaabah, maka mereka membangunkan sehingga bentuknya seperti yang kota dapat lihat sekarang. 

Hotel Hilton yang terletak betul-betul di hadapan pintu masuk Masjidil Haram
Clock Tower@ Zam-zam Tower
Pintu Utama ke Masjidil Haram

Selain Hijir Ismail, antara tempat lain yang dikatakan mustajab doa               adalah di hadapan pintu Kaabah, di bucu hajarul aswad sehingga pintu Kaabah yang dikenali sebagai Multazam, di bawah pancur emas iaitu di dalam Hijir Ismail, di tempat saie iaitu antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dan juga ketika melakukan tawaf. 

Pintu Kaabah
Bucu Hajarul Aswad
Kaabah
Akhir sekali, Tawaf wida' dilakukan pada saat terakhir sebelum meninggalkan Kota Mekah, sebelum menaiki bas untuk ke Jeddah. Tawaf wida adalah seperti tawaf sunat biasa, tak perlu memakai kain ihram untuk lelaki. Perlu berwuduk, menutup aurat dan lengkap 7 pusingan. Selepas selesai melakukan tawaf wida', hendaklah terus kembali ke hotel untuk berangkat. Antara larangan selepas tawaf wida' adalah seperti tidur di hotel, bergambar, membeli-belah, merokok dan bersedekah. Andai kata terlanggar pantang larang ini, maka seekor kambinglah penebusnya. Pantang larang ini hendaklah dijaga sehingga keluar dari Kota Mekah. 

Maka berakhirlah Kembara Haramain kali ini. Semoga catatan ini dapat dijadikan sebagai panduan untuk sesiapa yang bakal mengerjakan umrah buat kali pertama. Ia juga sebagai rujukan buat diriku untuk masa akan datang seandainya dijemput sekali lagi atau berkali-kali lagi untuk menjadi tetamuNya di sana.insyaAllah...

Sebagai penutup, aku senaraikan di bawah segala dokumen yang diperlukan dan perkara yang perlu dilakukan sebelum bertolak ke Tanah Haram. 
  1. Salinan Sijil Nikah bagi pasangan suami isteri bersama cop pengesahan oleh Pejabat Agama dan Wisma Putra
  2. Salinan Sijil Lahir bagi wanita yang pergi bersama mahram bersama cop pengesahan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Wisma Putra
  3. Sijil Suntikan Meningritis. Suntikan ini bertahan untuk 5 tahun dan berharga RM150~RM180.
  4. Passport antarabangsa. Bayaran untuk membuat passport yang baru adalah RM200 untuk 5 tahun. Bagi warga emas hanyalah RM100 sahaja. 
Semoga kita semua dijemput untuk menjadi tetamuNya di sana. Dan semoga aku dan kedua ibubapaku dikurniakan umrah yang mabrur dan maqbul. Semoga aku direzekikan untuk menjadi tetamu Allah buat kesekian kalinya selepas ini.ameen...

Monday, September 7, 2015

Hati Seorang Pendosa

Kerapkali rasa tak tenang... terkadang tak mampu dijelaskan apa perasaan dalam hati.. jiwa yang resah dan gundah..terasa hidup tak bermakna.. fikiran menerawang entah ke mana...

Mata ingin mengalirkan air mata, tapi hati menyoal atas sebab apa ingin menangis?
Mulut ingin meraung, tapi sekali lagi hati menyoal kenapa?
Kaki ingin melangkah dan berlari, tapi lari dari siapa?
Aku tiada jawapan...

Hati terasa ingin dekat dengan Tuhan, tapi nafsu kata nanti, kau terkutuk..kau banyak dosa..kau sangat hina..iman kau hanya separuh masa..tak malukah pada Tuhan?

Benar..aku rasa malu..seringkali mengulangi perbuatan maksiat, dosa dan noda..aku malu di saat memohon ampunanMu..

Aku bertaubat memohon keampunan..sehingga dapat kurasakan ketenangan hadir di jiwa...namun tak lama...aku alpa..dan mengulangi kesilapan itu...sungguh cepat aku lupa dengan nikmat ketenangan...

Ya Allah, hadirkan aku ketenangan jiwa, hati dan perasaan...jangan Kau matikan aku sebelum Kau ampunkan segala dosa-dosaku...

Sunday, June 15, 2014

Cara Memohon Kerja Di Bank

Dalam entry Analisis Kegagalan Interview, aku pernah berjanji untuk berkogsi mengenai tips atau cara-cara untuk memohon kerja di bank. Lagipun ramai juga di kalangan pembaca di blog picisan aku ni yang menghantar email dan bertanyakan serta meminta aku berkongsi tips-tips tersebut. Untuk mengelakkan soalan-soalan yang berulang, maka lebih baik aku share di sini sahaja agar dapat memberi manfaat buat pembaca yang lain juga. 

Sebenarnya, tips ini adalah secara general yang mana ianya terpakai untuk memohon kerja di mana-mana syarikat yang bersesuaian dengan kelulusan kita. Dan tips yang akan diberikan hanyalah berdasarkan pengalaman dan kaedah yang pernah aku lakukan dahulu. Maka aku tak jamin samaada ia berkesan atau tidak, itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing.InsyaAllah.

Antara cara-caranya adalah seperti yang berikut:
  1. Menghantar resume/CV melalui email. Setiap syarikat majoritinya mempunyai website dan dalam website tu, akan ada button atau link untuk memohon pekerjaan. Biasanya ada buton 'Career'. Click sahaja button tu dan akan ada email address yang boleh digunakan untuk menghantar resume kita. Sesetengah syarikat menyediakan online application. So, isikan sahaja maklumat peribadi kita di situ tanpa perlu menghantar resume melalui email.
  2. Walk-in Interview. Some companies membuat 'Open Day' untuk walk-in interview bersama syarikat mereka. Biasanya mereka akan mengedarkan flyers dan juga mengumumkan 'Open Day' di website atau laman sosial mereka untuk mewar-warkan walk-in interview tersebut. Jadilah seorang yang alert supaya kita tidak terlepas peluang untuk menghadiri interview tersebut. Pastikan kita tiba awal pagi kerana biasanya terlalu ramai calon yang hadir untuk ditemuduga. 
  3. Career Fair. Sentiasa pastikan resume kita updated dan print banyak-banyak untuk drop the resume ketika menghadiri Career Fair. Sungguhpun terlalu ramai calon yang drop resume, namun pihak syarikat akan melihat satu persatu resume tersebut dan akan menghubungi kita seandainya short-listed.
  4. Menghantar resume by hand. Kunjungi Head Quarters syarikat, dan terus berhubung dengan HR department untuk mengberikan resume. Cara ini agak berkesan kerana ia menunjukkan kesungguhan kita memohon pekerjaan dan memastikan resume kita benar-benar sampai di tangan pihak yang sepatutnya. Pada tahun 2010, aku mengambil masa sehari suntuk mengunjungi semua HQ bank yang berada di sekitar Masjid Jamek untuk menghantar resume. Penat tidak terkata dan rasa seperti kerja gila, namun alhamdulillah dapat feedback yang baik dan aku dipanggil untuk unterview session tak lama lepas tu.
  5. Menghantar resume by pos. Pastikan di sampul surat ditulis 'untuk perhatian Human Resources' supaya resume kita dihantar direct kepada HR department.
  6. Mengirim resume kepada kawan. Ini adalah cara yang paling berkesan. Contact kawan-kawan lama dan tanya di mana mereka berkerja dan jangan ragu-ragu untuk pass resume kita kepadanya. Tak mengapa kalau mereka tahu kita grad dengan pointer berapa dan gaji kita sekarang berapa. Semasa farewell kawan-kawan sepejabat, jangan lupa pesan kepada mereka supaya inform kita sekiranya terdapat vacancy di tempat kerja baru mereka. Hubungi juga ex-colleagues dan tanya sebarang vacancies yang boleh kita apply di tempat kerja mereka.
  7. Banyak bertanya. Semasa berada di mana-mana tempat dan keadaan seperti dalam program or function, majlis-majlis korporat, kompleks membeli belah, or even dalam train, jadilah seorang yang peramah. Tanyakan mereka berkerja di mana dan mintak no telefon or email mereka untuk dihubungi agar kita dapat meminta mereka menyampaikan resume kita kepada boss or HR department mereka. Untuk pengetahuan semua, saya dapat keje sekarang ni melalui cara ni. Masa tu, saya join satu program teambuilding. Pada akhir program, saya mintak phone no. and email address semua peserta. Tak sangka ada antara mereka adalah department head kat tempat keje dorang. Lepas tu saya terus email my resume kepada mereka. Alhamdulillah tak lama lepas tu saya dipanggil interview dan lulus. Saya juga minta tips dan nasihat daripada pakcik yang forward resume saya tu. 
  8. Menghantar resume melalui jobportal. Terdapat banyak portal-portal yang menghebahkan kekosongan jawatan perkerjaan seperti Jobstreet, Jobsdb, LinkedIn, JobsMalaysia dan lain-lain. Sentiasa update resume dan apply kekosongan yang dipaparkan di portal tersebut. Aku berjaya mendapatkan pekerjaan pertama dengan menggunakan Jobsdb. 
Selain daripada tips-tips di atas, jangan lupa amalkan tips-tips rohaniah agar usaha dan pilihan kita lebih diberkati dan diredhai Allah s.w.t. Dalam mencari rezeki, sentiasa ingat bahawa rezeki adalah kurniaan Allah, bukan dengan kehendak manusia. Letaklah pergantungan sepenuhnya kepada Allah Ta'ala dan jangan berputus asa daripada rahmatNya. Berikut antara amalan yang dianjurkan untuk memudahkan rezeki dan memperoleh limpahan nikmat dan rahmatNya:
  • Amalkan solat Dhuha. Solat dhuha dapat meluaskan pintu rezeki.
  • Amalkan membaca Ayat Seribu Dinar setiap kali selesai solat.
  • Amalkan membaca لاحول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم sebagai tanda kita bergantung sepenuhnya kepada Allah. 
  • Amalkan bersedekah kerana sedekah mempunyai barakah.
  • Amalkan solat taubat, solat hajat, solat tahajjud dan solat witir.
Setakat itu sahaja yang mampu aku kongsikan buat masa ini. Semoga kita semua dikurniakan rezeki yang halal, diberkati dan diredhai Allah s.w.t..ameen...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin