Dalam dunia ini kita dapat lihat terdapat pelbagai jenis kehidupan manusia. Tidak semua orang melalui kehidupan sama seperti kita. Namun terdapat dua jenis kehidupan insan yang begitu mencapah, seolah-olah saling bertentangan. Kedua-dua jenis kehidupan insan ini tidak mustahil wujud di kalangan kita tanpa kita sedari.
Bagi insan A, kehidupannya begitu sempurna sejak kecil hingga dewasa. Makan pakai walaupun tidak mewah, tapi masih mampu disediakan oleh ibubapanya. Sedangkan bagi insan B yang kehidupannya tidak pernah sepi dari kesusahan sepanjang hidupnya, makan pakainya terpaksa diusahakan sendiri dengan membantu ibubapanya menoreh getah, menjaja kuih muih, dan sebagainya. Hanya selepas mendapat tukaran wang daripada hasil usahanya itu barulah dapat ditukar dengan sedikit makanan dan pakaian baru.
Begitu juga pembiayaan pendidikan. Insan A hanya perlu belajar, tidak perlu risaukan perbelanjaan sekolah. Sedangkan Insan B perlu belajar dan juga membantu ibubapanya pada hujung minggu untuk menampung perbelanjaan sekolah dan juga perbelanjaan harian. Insan B yang ibubapanya penoreh getah, terpaksa menolak dan mengangkut getah sekerat untuk dijual. Kadang-kala kesan bau getah sekerat di tangan belum pun hilang, tapi wang yang diperolehi sudah habis dibelanjakan.
Selepas berakhirnya alam persekolahan dan pembelajaran, insan A dapat berehat di rumah, menganggur sambil menanti pekerjaan yang sesuai untuk memulakan kerjaya. Sedangkan bagi insan B, tiada masa untuk menganggur biarpun seketika. Biarpun hanya bekerja sementara tetapi sekurang-kurangnya dia sudah tidak menjadi beban kepada ibubapanya lagi. Ditambah pula ibubapanya yang sudah tua, sudah tidak begitu kuat untuk bekerja kerana kudrat yang ada sudah dikerah sejak usia muda. Sedangkan adik-adik masih ramai yang bersekolah dan memerlukan pembiayaan pendidikan. Disebabkan itu, insan B merasakan sudah tiba masanya untuk membalas budi dan berbakti kepada keluarganya.
Insan A apabila sudah memulakan kerjaya terfikir pula untuk memiliki kereta sendiri. Namun ibubapa masih sudi mendahulukan wang mereka RM10 ribu hingga RM20 ribu. Namun lain pula bagi insan B. Untuk memiliki kereta terpaksa difikir semasak-masaknya. Wang pendahuluan adalah seratus peratus duit poketnya sendiri. Ibubapanya bukan tidak sudi untuk menghulurkan sedikit wang, tapi apakan daya, duit perbelanjaan dapur setiap bulan pun dibiayai insan B.
Insan A tidak perlu memikirkan apa-apa lagi selain perbelanjaan sendiri. Duit gajinya seratus peratus untuk diri sendiri. Kadang-kala diberikan kepada ibubapa seratus dua, tapi ibubapanya sendiri sudah berlebihan wang. Kesudahannya, duit gaji masuk poket sendiri, boleh juga dibuat membeli aksesori kereta, makan di restoran-restoran mahal, beli pakaian mahal-mahal dan juga pergi melancong. Sedangkan bagi insan B, duit gajinya yang sedikit itu begitu banyak cabang kegunaannya. Duit itu jugalah untuk diberi kepada ibubapa, menanggung persekolahan adik-adik, perbelanjaan sendiri dan juga untuk simpanan. Kadang-kadang teman sekerja mengajak untuk makan bersama di restoran mewah. Dirinya terasa segan untuk menolak, tapi dalam hatinya terlintas; duit RM50 sekali makan tengahari, kalau digunakan untuk beli lauk pauk dan masak di rumah, sudah boleh dimakan untuk satu keluarga. Bila dipelawa untuk pergi melancong pula, bukan tiada duit untuk melancong, tapi beratus-ratus dan beribu-ribu itu sekiranya disimpan sedikit lagi insya-Allah dapat hantar ibu dan ayah pergi menunaikan haji atau umrah. Itu pasti lebih baik daripada diri sendiri bersuka ria melacong bersama kawan-kawan.
Tiba masa untuk mendirikan rumahtangga, ibubapa insan A sanggup menanggung perbelanjaan perkahwinan anak-anaknya. Insan A hanya perlu mengeluarkan separuh perbelanjaan sahaja. Lebih bertuah lagi apabila dapat pula bakal mentua yang juga dari keluarga berada. Semakin sempurnalah kehidupan insan A tanpa perlu memikirkan kesusahan untuk dihadapi selepas berumahtangga. Bagi insan B pula, dia cuba untuk mengehadkan perbelanjaan untuk yang benar-benar perlu sahaja kerana semua perbelanjaan ditanggung sendiri dan juga perkongsian daripada bakal teman hidupnya. Insan B yang sudah kalis dengan segala kesusahan pasti berfikir beribu kali untuk menerima pasangan hidup dari kalangan keluarga berada kerana takut dikatakan ingin menumpang kesenangan orang lain. Namun dia tidak akan berasa kesal sekiranya ditakdirkan Allah yang jodohnya dengan insan yang biasa-biasa sahaja kerana segala kesusahan sudah menjadi teman hidupnya selama ini. Maka sudah pasti dia tidak mudah melatah seandainya diuji dengan kesusahan lagi di masa akan datang kerana segala kesusahannya dalam mengharungi hidupnya selama ini telah menjadikan dirinya seorang yang amat kuat dan tabah.
Begitulah perbandingan kehidupan antara dua insan. Seandainya kita diberi pilihan, sudah pasti kita akan memilih kehidupan seperti insan A. Tapi ketahuilah bahawa kehidupan insan B walaupun sentiasa diiringi kesusahan, namun kehidupannya lebih istimewa kerana dia lebih mengenal erti hidup dan erti berdikari, dia lebih menghargai erti pengorbanan. Dan yang paling penting, hidupnya lebih mulia dan dicintai Allah dengan syarat segala kesusahan itu ditempuhi dengan redha. Namun boleh jadi juga segala pengorbanan insan B adalah sia-sia seandainya dihadapi dengan penuh rasa kebencian dan menyalahkan takdir.
Sedangkan bagi kehidupan insan A, hidupnya yang begitu sempurna adalah sangat rugi dan sia-sia sekiranya dia tidak pernah bersyukur dengan segala kesenangan yang dikecapinya. Namun alangkah bertuahnya sekiranya insan A bersyukur dengan setiap nikmat yang dikecapinya dan dikongsi pula bersama insan-insan lain yang kurang berkemampuan. Itulah sebenarnya sebaik-baik kehidupan yang perlu kita impikan. Jadilah sebaik-baik manusia yang hidupnya dalam kesenangan dan dapat pula menyenangkan insan lain.
Sedangkan bagi kehidupan insan A, hidupnya yang begitu sempurna adalah sangat rugi dan sia-sia sekiranya dia tidak pernah bersyukur dengan segala kesenangan yang dikecapinya. Namun alangkah bertuahnya sekiranya insan A bersyukur dengan setiap nikmat yang dikecapinya dan dikongsi pula bersama insan-insan lain yang kurang berkemampuan. Itulah sebenarnya sebaik-baik kehidupan yang perlu kita impikan. Jadilah sebaik-baik manusia yang hidupnya dalam kesenangan dan dapat pula menyenangkan insan lain.