Friday, March 21, 2014

Faktor Penting Dalam Memilih Pekerjaan

Ramai orang mengingatkan agar jangan terlalu memilih pekerjaan lebih-lebih lagi pada zaman sekarang. Tetapi bagi saya, kita berhak memilih lebih-lebih lagi jika mempunyai ilmu, kelulusan dan kemahiran yang tinggi. Andai keadaan tidak terlalu mendesak, usahlah terlalu tergesa-gesa untuk menerima apa-apa sahaja yang ditawarkan. Pertimbangkan dahulu kelebihan dan kekurangan jawatan dan syarikat tersebut. Berikut merupakan senarai perkara-perkara penting untuk dipertimbangkan sebelum menerima atau menolak pekerjaan yang ditawarkan. 

1. Latar Belakang Syarikat
Ini adalah perkara yang pertama sekali patut dipertimbangkan. Buat sedikit kajian tentang latar belakang syarikat, kedudukan kewangan, status pendaftaran, pemilik syarikat, usia penubuhan syarikat, pelanggan atau pembekal utama syarikat dan lain-lain supaya dapat mengelakkan kita daripada terlibat dalam sebarang kes penipuan. Dan yang paling penting, kaji status syarikat dari perspektif islam, adakah pendapatan yang diperoleh syarikat itu dari sumber yang halal atau yang haram? 

2. Bidang Kerja
Buat kajian tentang jawatan yang ditawarkan agar kita tahu serba sedikit skop kerja yang bakal dilakukan dan juga agar kita tahu adakah jawatan yang ditawarkan menepati minat dan kelulusan kita. Jangan sesekali ketepikan rasa minat dalam sesuatu perkara. Sebenarnya rasa minatlah yang mendorong kita untuk maju ke hadapan. Tidak salah kalau kita menerima sesuatu pekerjaan atas dasar minat bukan atas dasar kelulusan dalam bidang tertentu. Sebab itulah tidak hairan andai seorang graduan perubatan dari Ireland balik Malaysia bekerja sebagai pereka grafik. 

3. Hari dan Masa Bekerja
Biasanya hari bekerja di Malaysia adalah 5 hari seminggu, 8 jam sehari. Elakkan memilih syarikat yang mewajibkan bekerja 6 hari seminggu. Masa bekerja pula, pilihlah yang flexible agar senang kita menguruskan masa kita sendiri, boleh masuk kerja dan balik kerja ikut suka asalkan cukup 8 jam sehari. Dan pilihlah kerja yang tidak memerlukan kerja lebih masa sepanjang masa. 

4. Bilangan Cuti
Antara cuti yang biasa diberikan adalah cuti tahunan, cuti sakit, cuti belajar, cuti peperiksaan, cuti mengerjakan haji, cuti kahwin, cuti bersalin, cuti saudara sakit, dan juga cuti tanpa gaji. Pilihlah syarikat yang memberikan cuti yang paling maksimum kerana kita punyai keluarga dan perkara-perkara lain yang juga perlukan tumpuan, bukan hamba kerja semata-mata. 

5. Manfaat dan Peruntukan 
Manfaat perubatan adalah keperluan yang sangat penting. Sesetengah syarikat memberikan manfaat perubatan yang tidak terhad termasuk untuk anak dan isteri/suami. Selain daripada manfaat perubatan, peruntukan lain untuk kebajikan pekerja adalah seperti peruntukan sambung belajar, peruntukan rawatan gigi dan optical, skim persaraan, takaful dan sebagainya. 

6. Gaji dan Bonus
Tidak dinafikan bahawa gaji yang ditawarkan merupakan faktor utama bagi seseorang dalam memilih atau menerima tawaran pekerjaan. Namun, pertimbangkan juga faktor kenaikan gaji dan bonus tahunan. Tak guna juga kalau gaji tinggi tapi tiada bonus diberikan saban tahun. Lebih malang lagi sekiranya kenaikan gaji hanyalah RM50 setahun!

7. Elaun
Tak banyak syarikat swasta yang memberikan elaun tambahan selain daripada gaji pokok. Namun, bagi yang berkerja di luar pejabat dan dikehendaki keluar ke sana-sini atas urusan kerja, pastikan peruntukan elaun minyak kereta disediakan. Elaun lain yang menarik adalah seperti elaun kerja lebih masa, elaun pengangkutan, elaun kerja shift, elaun perjalanan yang berkaitan dengan kerja dan lain-lain.

8. Tahap Tekanan
Tekanan di tempat kerja mungkin disebabkan oleh bebanan kerja yang terlalu banyak, tekanan daripada pihak atasan, persekitaran yang tidak selesa dan lain-lain. Perlu diketahui bahawa gaji yang tinggi adalah tidak berbaloi sekiranya tekanan di tempat kerja adalah pada tahap maksima! Mungkin sebulan-dua kita masih mampu bertahan, tapi kalau berterusan hingga bertahun-tahun siapa sanggup menahan gelodak jiwa? Lantas terus resign dengan notis 24 jam! Lebih baik gaji lebih rendah asalkan tidak tertekan. 


9. Persekitaran
Selain kelebihan berbentuk material, kita juga perlu mempertimbangkan keadaan persekitaran tempat kerja. Persekitaran yang dimaksudkan adalah seperti teman-teman, situasi pekerjaan, hubungan pekerja dengan majikan, aktiviti sosial dan lain-lain. Alangkah bahagianya andai mempunyai teman-teman sekerja yang baik hati, yang saling nasihat-menasihati dan saling hormat-menghormati. 

10. Lokasi
Adalah satu kelebihan seandainya lokasi tempat kerja adalah berdekatan dengan tempat tinggal kita kerana dapat menjimatkan masa, tenaga dan wang. Sekiranya lokasi tempat kerja adalah jauh, kita perlu korbankan masa untuk travel berjam-jam ke tempat kerja, ditambah pula dengan bayaran tambang pengangkutan, minyak kereta, bayaran tol dan juga membazirkan tenaga bersesak-sesak dalam tren dan juga berjalan kaki. 

Selain daripada mempertimbangkan faktor-faktor yang disenaraikan di atas, jangan lupa solat istikharah agar dipermudahkan jalan dalam memilih yang terbaik. Andai punyai pilihan, pilihlah yang terbaik. Andai tiada pilihan buatlah yang terbaik. Semoga bermanfaat..

3 comments :

shida sajee.. said...

Tips ni sangat berguna. Saya baru habis my study on diploma in tourism and management. N sekarang sedang bekerja di travel agent yang berdekatan dengan rumah. saya nak tanya, adakah berbaloi gaji saya rm800,bekerja 6 hari dalam seminggu, cuti pada hari ahad. sabtu halfday.

Anonymous said...

interesting. I am willing to know the answer too.

♥Fitnunnisak♥ said...

Shida Sajee ~ Bg sy tak berbaloi sbb gaji RM800 tu taraf SPM je...tp kalau dh mmg xde keje lain, terima je..tp at the same time cari jugak keje lain yg boleh bagi gaji yg lebih tinggi...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin