Sunday, August 5, 2012

Kembara Menggapai Impian

Pendakian menuju ke puncak gunung tak banyak bezanya dengan perjalanan kita dalam kehidupan terutamanya dalam menggapai impian. Sebelum pengembaraan bermula, kita telahpun menetapkan matlamat untuk menawan puncak gunung tersebut walau apa cara sekalipun. Namun begitu, setiap orang mempunyai matlamat berbeza. Ada yang ingin sampai ke puncak untuk menyaksikan keindahan matahari terbit, ada yang ingin merakamkan keindahan puncak gunung sambil berposing, ada yang sekadar menambah jumlah gunung yang telah berjaya ditawan, ada yang ingin membuat kajian tentang flora dan fauna yang wujud di situ, malah ada juga yang ingin merasai pengalaman berada di puncak gunung dan seterusnya boleh menceritakan pengalaman kesukaran dalam pendakian dan juga kebahagiaan apabila berjaya menawan puncak gunung tersebut.

Cuba kita kaitkan dengan matlamat kita dalam menggapai kejayaan. Semua orang menetapkan matlamat masing-masing. Namun matlamat setiap orang untuk berjaya adalah berbeza bagi setiap individu. Ada yang mengejar kejayaan semata-mata untuk menjadi kebanggaan keluarga dan masyarakat, ada yang ingin menjadi terkenal dan disanjung tinggi, ada yang ingin membuktikan diri sehebat dan setaraf dengan orang lain, ada juga yang ingin menjadi contoh tauladan dan inspirasi bagi orang lain supaya berusaha untuk menggapai impian seterusnya berjaya seperti dirinya.

Di sinilah kita dapat lihat betapa pentingnya matlamat dalam sesuatu tindakan kita. Alangkah ruginya kita seandainya matlamat yang kita tetapkan itu hanyalah semata-mata untuk kemegahan seterusnya mengundang kemurkaan Allah. Malah lebih rugi sekiranya kita tidak meletakkan sebarang matlamat dalam setiap tindakan kita kerana apa yang kita lakukan tanpa matlamat adalah sia-sia dan tiada nikmat kejayaan untuk kita raikan!

Seterusnya, pendakian bermula. Namun, terdapat banyak jalan atau kaedah yang dapat kita pilih untuk memastikan kita berjaya sampai ke puncak gunung bagi mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Antaranya dengan mendaki selangkah demi selangkah atau cara yang paling mudah dengan menaiki helicopter.

Jika kita guna kaedah mendaki dengan segala kudrat kita sendiri, terdapat lebih banyak cabaran dan juga pilihan. Kita akan berhadapan dengan banyak persimpangan jalan yang memerlukan kita membuat keputusan untuk memilih jalan mana yang terbaik untuk dilalui. Dalam masa yang sama, kita akan berhadapan dengan makhluk-makhluk lain seperti pokok-pokok, pendaki-pendaki lain, serangga dan lain-lain. Kita juga dapat berjumpa dengan insan-insan lain yang tidak berjaya sampai ke puncak, bersandar di batang pokok dan berputus asa. Semua itu menjadikan kita lebih bersemangat untuk meneruskan pendakian kerana kita tidak mahu menjadi seperti mereka. Malah kita mungkin akan berhenti sekejap untuk memberikan dia sedikit semangat untuk meneruskan langkah ke puncak. Sekiranya kita terjatuh, ada insan lain yang akan menghulurkan tangan untuk membantu kita bangkit semula. Paling malang pun, kita masih boleh berpaut pada akar pokok untuk membantu kita bangkit seterusnya meneruskan pendakian.


Namun, kita tidak akan berpeluang untuk mengenali erti penat lelah, kesusahan dan juga rasa menghargai makhluk lain yang wujud selain kita sekiranya jalan yang kita pilih untuk sampai ke puncak adalah dengan menggunakan helicopter. Kita tidak nampak kesusahan mereka untuk mereka bentuk sebuah helicopter. Kita hanya tahu menggunakan helicopter tersebut demi menawan puncak gunung dengan mudah. Dan yang paling malang, sekiranya helicopter tersebut terhempas, tiada lagi harapan untuk kita bergantung apatah lagi harapan untuk sampai ke puncak!

Begitulah juga dalam kehidupan kita. Terdapat banyak jalan yang terbentang di depan mata kita yang dapat kita pilih untuk menuju kejayaan. Ada jalan mudah dan singkat dan ada juga jalan yang sukar lagi berbahaya. Jalan manakah kita akan pilih? Pastinya jalan yang paling senang menjadi pilihan. Tapi kita tak sedar bahawa jalan yang sukar itu sebenarnya adalah jalan yang terbaik, yang jarang sekali orang nampak akan kelebihannya.

Jalan yang singkat selalunya hanya membawa kebahagiaan atau kejayaan untuk sekejap waktu sahaja. Dan selalunya kejayaan yang kita tempa melalui jalan yang singkat lebih membosankan dan kita kurang menghargai insan sekeliling kita yang tanpa kita sedari sebenarnya mereka juga penyebab kepada kejayaan kita. Kita juga tidak dapat menilai hati-hati insan yang berada bersama kita di sepanjang perjalanan kita kerana masa yang terlalu terhad untuk mendalami isi hati masing-masing.

Sedangkan kalau kita memilih jalan yang sukar dan penuh cabaran, kita akan lebih menghargai insan sekeliling kita yang memberi sokongan, memberi inspirasi dan mengiringi kita dalam menuju kejayaan. Kita juga dapat menilai siapa yang menghulur bantuan dan sokongan dikala kita terjatuh atau hampir berputus asa. Kejayaan yang kita kecapi juga terasa berbaloi dengan penat lelah, pengorbanan dan cabaran yang kita lalui. Ini menjadikan kejayaan tersebut terasa lebih manis dan sangat berharga.


Apabila kita telah sampai ke puncak gunung, pasti kita berasa lega, bangga dan gembira. Namun, kita perlu ingat bahawa kejayaan tersebut bukan bermakna perjalanan kita telahpun berakhir. Juga bukan bermakna kejayaan itu milik kita selama-lamanya kerana kita perlu meneruskan pengembaraan untuk turun dari puncak gunung dan kembali ke rumah pula! Akhir sekali, kita perlu ingat bahawa kejayaan ke puncak gunung tersebut bukanlah pengembaraan terakhir, masih banyak puncak gunung lain yang belum ditawan. Bukan kerana tamak, hanya kerana setiap pengembaraan ke puncak gunung yang lain adalah berbeza keindahan puncaknya, cabarannya, suasananya laluannya dan juga makhluk sekelilingnya.



Begitu juga bila kita sudah berada di puncak kejayaan, raikanlah ia hanya sekadar sahaja kerana masih banyak impian lain yang belum terlaksana. Jangan terlalu bangga dengan kejayaan yang kita gapai kerana kejayaan itu bukanlah milik kita untuk selama-lamanya. Sentiasa semat di hati bahawa hidup ini ibarat roda, kadang-kala kita berada di atas, kadang-kala di bawah. Jangan bersedih sekiranya kita terpaksa meninggalkan puncak jaya itu, bersyukurlah kerana kita pernah mengecapinya. Kita hanya perlu teruskan perjalanan mengejar impian lain yang masih menunggu untuk digapai. Teruskan, jangan berputus asa kerana pengembaraan itu tidak pernah berakhir selagi impian terakhir belum tercapai. Impian terakhir itu ialah kehidupan di syurga yang kekal abadi..   

No comments :

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin