Sunday, January 20, 2013

Memilih atau Dipilih

Memilih - Sekiranya diberi banyak pilihan dan kita dikehendaki memilih salah satu daripada pilihan yang diberikan, pasti agak pening memikirkan pilihan manakah yang terbaik. Kadangkala kita rasa pilihan yang dibuat adalah yang terbaik, tapi kita tak tahu pilihan tersebut akhirnya membuat kita menyesal di kemudian hari.


Dipilih - Berlainan pula sekiranya kita tidak mempunyai sebarang pilihan dan kita dikehendaki mengikut sahaja  pilihan yang ada. Atau dengan kata lain, kita telah pun dipilih untuk melaksanakan atau meneruskan langkah pilihan tersebut. 

Setiap orang pasti pernah melalui kedua-dua situasi di atas. Malah situasi tersebut wujud dalam banyak perkara. Antaranya dalam soal memilih jodoh, memilih kerjaya, memilih bidang yang ingin diceburi, memilih rumah atau kereta untuk dibeli dan juga dalam sekecil-kecil pilihan seperti memilih pakaian harian!

Pada hakikatnya, memilih atau dipilih tidak banyak bezanya kerana kita tetap perlu meneruskan kehidupan kita. Yang berbeza hanyalah penerimaan kita berdasarkan hasil daripada pilihan tersebut. Sekiranya hasil yang diperolehi adalah menepati jangkaan kita, pastilah kita sangat menyukainya. Tetapi sekiranya hasil yang diperolehi di luar jangkaan kita lebih-lebih lagi hasil yang bersifat negatif, semestinya kita rasa menyesal dan bersedih hati. 

Di sinilah Islam dan iman memainkan peranan. Seandainya kita benar-benar percaya dengan qada' dan qadar Allah, pasti kita tidak risau apabila menghadapi saat memilih atau dipilih. Kerana kaedahnya telahpun kita ketahui. Sekiranya menghadapi banyak pilihan, solat istikharah sebagai pengiringnya. Andai dipilih, solat hajat menjadi pengiringnya. Apabila kedua-dua kaedah ini sentiasa diamalkan, hasil yang diperolehi samaada positif atau negatif, kita telah pun redha dengannya. Yakinlah, Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita. Bagi kesudahan yang baik, bersyukurlah dengan nikmat tersebut. Dan bagi setiap kesudahan yang kita sangkakan tidak baik sebenarnya mengandungi banyak hikmah yang tersembunyi di sebaliknya. 

Memilih atau dipilih tidak penting, yang penting buatlah yang terbaik berdasarkan pilihan tersebut. Dan redhalah dengan setiap kesudahannya.

Jika punyai pilihan, pilihlah yang terbaik. Jika tiada pilihan, buatlah yang terbaik. 

No comments :

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin