Pernah tak kita ternampak bila setiap kali hampir masuk waktu solat, ada sebuah Lamborgini atau kereta-kereta mewah yang lain sudah terparkir betul-betul di depan masjid? Aku pernah terlihat sekali di sekitar Bangi. Perasaan ketika itu, masyaAllah sungguh hebat orang ini, kekayaan tidak menghalang mereka daripada taat beribadah kepada Allah. Mereka inilah yang aku namakan Kaya yang Beriman.
Kaya yang Beriman - Aku sangat salute dengan mereka. Dan sejak kebelakangan ini, aku jumpa ramai sangat kenalan baru yang kaya lagi beriman. Sesungguhnya mereka sangat beruntung kerana dunia yang mengejar mereka. Maka, betullah orang kata, kalau kita kejar dunia, dunia akan lari. Tapi kalau kita kejar akhirat, dunia yang akan mengejar kita. Sebab itulah Rasulullah s.a.w selalu berdoa, "Ya Allah! Letakkan dunia ini di tanganku, bukan di hatiku."
Sememangnya kekayaan merupakan salah satu istidraj. Jika kita kalah dengan ujian tersebut, maka hinalah kita. Tetapi andainya kita berjaya menundukkan ujian tersebut, maka alangkah beruntungnya. Bagi orang-orang yang beriman, kekayaan dan kemewahan hanyalah pinjaman daripada Allah, dan sebahagian daripada harta yang dimiliki bukanlah 100% miliknya, tetapi sebahagiannya merupakan milik fakir-fakir miskin.
Menyedari hakikat tersebut, orang kaya yang beriman menggunakan kekayaan mereka ke jalan fi sabilillah. Mereka menjadikan sahabat Rasulullah iaitu Abdul Rahman bin Auf sebagai role model yang mana beliau mendermakan seluruh hartanya ke jalan Allah. Tidak terdetik pun di hati mereka takut harta akan habis dan menjadi miskin. Ini kerana tidak pernah ada dalam sejarah dunia, orang jatuh miskin kerana selalu bersedekah. Malahan Allah juga berjanji dalam qalamNya, "Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya dan dia akan memperolehi pahala yang banyak.” (Surah al-Hadid ayat 11).
Mengenai sahabat-sahabat aku yang juga kaya yang beriman, aku turut kagum dengan mereka. Mereka punyai akhlak yang baik, pemurah, kaya dengan ilmu agama serta kaya dengan harta dunia. Semoga character mereka turut memberi tempias kepadaku agar aku dapat mencontohi dan mengikuti jejak langkah mereka. InsyaAllah..
No comments:
Post a Comment