Tuesday, February 25, 2014

Kerja Admin : Senang Tapi Leceh

Sesekali terpaksa buat kerja-kerja admin, terasa amat bodoh dengan kesilapan-kesilapan yang tak dapat diterima akal, orang kata 'silly mistakes'. Kerja-kerja admin adalah terlalu senang, contohnya print letter, print slides, set-up meeting or appointments dan sebagainya. Namun bagi aku yang tak biasa buat kerja admin ditambah pulak dengan sikap aku yang terlalu careless, kerja admin memang memberi tekanan yang agak maksima. 

Antara silly mistakes dan tindakan pelik yang aku pernah buat adalah : 

1. Terlupa update tarikh. Kadangkala, surat dalam bentuk microsoft word sudah auto-updated tarikhnya, namun ada juga orang yang tak tahu function auto-update tarikh tu, jadi perlu update tarikh secara manual. Bila bos aku mintak tolong print surat tu, aku terus je print tanpa double check tarikh yang terkini. Maklumlah, nak print tekan ctrl + P then press enter je terus keluar kat printer. Tindakan yang sangat cepat tapi salah! 

Info : Untuk letak function auto-updated date, open Mocrosoft Word > highlight date > click Insert > Date & Time > select format > click Update automatically > OK. 


2. Print surat bersama company header. Disebabkan jarang-jarang print surat bersama header, aku tak tahu macammana nak letak paper yang ada company header di multi-purpose tray printer. Bila dah siap print, kadang-kadang header dekat belakang surat, kadang-kadang header berada di bawah. Jadi, untuk dapatkan kerja yang sempurna, aku terpaksa membazirkan beberapa helai kertas dulu untuk try and error..haha.. Aku juga baru tahu bila nak print letter bersama header, tak boleh print double-sided. Lagi satu. print letter bersama header hanya untuk external correspondent sahaja. Jadi, kalau untuk internal correspondent, tak perlu guna header.. owh, sungguh jakun dan tak alert aku nih! 

3. Set-up meeting. Sebenarnya jari-jemari aku nih terlalu pantas berlari-lari di atas keyboard. So, bila nak taip something, memang cepat je menekan-nekan then dah terus send. Pernah sekali aku tersilap invite entah sape untuk attend satu meeting bersama my boss. Yang jadi lebih teruk, aku boleh tak perasan yang aku dah tersilap invite sampailah boss aku yang tegur. Nasib baik meeting tuh cancel dan orang yang aku invite tu tak respond pun invitation aku tuh. Kalau tak, memang nahas la.. 

4. Entertain guests. Kalau kat rumah, mungkin kita dah biasa entertain tetamu yang datang. Tapi kalau kat ofis, tetamu yang perlu dilayan bukan sebarangan orang. Mereka nih VVIP. So, bila sesekali terpaksa handle guest VVIP, memang segan dan kaku. Aku pernah sekali kena layan guest Pak Arab dari Negara Kuwait. Kerja simple sangat je, hidangkan kuih, bancuhkan air. Tapi aku rasa nervous sangat sebab jadi macam waiter hidangkan air depan orang, orang duk tengok kita..ohh, malu weh! menggigil-gigil aku tuang air dan hidangkan kuih. Nasib baik tak tumpah air tuh! 

Kesimpulannya, aku patut cuba kerja-kerja lain juga, bukan kerja menghadap komputer sahaja.. kerja menghadap komputer menjadikan aku kurang bersosial dengan orang lain dan otak rasa seolah-olah dah beku, tak boleh berfikir dengan rasional tentang perkara-perkara biasa yang dilakukan oleh orang sekeliling. 

Tuesday, February 18, 2014

Pelaburan Emas


Seperti yang dijanjikan sebelum ni, aku akan menyambung sessi knowledge sharing mengenai kaedah membiakkan duit melalui pelaburan emas. Bagi sesiapa yang tak tahu apa-apa mengenai pelaburan, anda digalakkan membaca entry mengenai asas pelaburan serta terminologies yang digunapakai dalam bidang pelaburan. Ini adalah bagi mengelakkan kekeliruan dan persoalan serta kemudahan untuk memahami entry kali ini. Anda boleh membaca entry asas pelaburan tersebut DI SINI.

Pelaburan Emas (Gold Investment) - Dah lama orang bercerita mengenainya, tapi masih ramai juga yang tak tahu macam mana nak mula berkecimpung dalam bidang ni. Juga ramai yang tak tahu perkara asas mengenai pelaburan emas ni. Jadi, di sini aku nak buat sedikit knowledge sharing about gold investment. Aku takdelah pakar sangat, cuma boleh la nak share sikit-sikit apa yang aku tahu..hehe

Pelaburan emas merupakan long term investment. Ia bukan seperti pelaburan saham, hari ni beli esok lusa nak jual, terus dapat untung. Ini kerana terdapat margin yang agak besar antara harga jual dan harga beli. Sebagai contoh, harga beli hari ini RM136 per gram, harga jual RM128 per gram. Margin adalah sebanyak RM8. Kita beli 1gram emas hari ini dengan harga RM136 then hold kejap dua tiga hari. Then tetiba harga naik jadi RM140. Kita rasa dah dapat untung tapi sebenarnya belum untung kerana kalau kita nak jual, kena tengok harga jual, iaitu kena tolak margin RM8, jadi kita jual dengan harga RM132 sahaja sedangkan kita beli dengan harga RM136. Jadi kita rugi RM4.

Tetapi, kalau kita betul-betul nak jual dan mendapat untung pada harga RM140 tu, kita boleh jual kepada rakan-rakan kita atau sesiapa yang berminat untuk beli dengan harga jual RM140 tersebut atau boleh negotiate sikit kepada RM139. Barulah dapat untung RM3.

Tetapi, apa yang kita perlu buat sekiranya harga emas terus menurun selepas kita membelinya? Di sini saya ada tiga nasihat yang mungkin berguna. Pertama, jangn terlalu tamak. Jangan tamak ketika membeli dengan membeli banyak-banyak sekaligus walaupun kita rasa harga pada hari kita membeli emas tu adalah harga terendah dalam beberapa tahun. Kita perlu ingat, duit yang kita ada mungkin diperlukan di saat-saat kecemasan sedangkan emas sukar untuk dicairkan. Jadi, jangan menggunakan semua duit saving yang kita ada untuk membeli emas. 

Nasihat yang kedua, kita perlu hold sahaja emas yang ada dengan syarat follow nasihat yang pertama tadi. Kita hanya perlu menunggu harga emas akan menaik semula. Mungkin selama setahun atau lebih. Percayalah, harga emas akan meningkat, cuma mengambil masa. Kalau kita lihat kepada historical graph 5-10tahun, bentuk grafnya sentiasa meningkat. Boleh rujuk graf di bawah.
Gold price movements in 5-years
Gold Price movements in 10-years. Kita boleh lihat pergerakan menurun yang sama pada tahun 2009 dengan 2013. Namun harga semakin meningkat selepas tahun 2010.
Gold price movements in 30-years.
Dan nasihat yang ketiga, simpanlah emas kerana duit yang kita pegang pada hari ini juga bersandar kepada emas. Seandainya rizab emas sudah habis, maka duit ditangan kita hanyalah kertas yang tak bernilai.. wang kertas yang kita pegang hari ini hanyalah sebagai bahan perantara bagi mempermudahkan urusan seharian. 

Di zaman rasulullah dahulu, baginda menggunakan dinar dan dirham dalam urusan perniagaan harian. Ini kerana terdapat hadis yang mengatakan, Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda, "Akan Tiba satu zaman di mana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh umat manusia, maka simpanlah Emas dan Perak" (Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal). Namun begitu, majoriti pendapat mengatakan hadis ini adalah dhaif. Wallahu'alam.

Selesai mengenai teori dan kaedah dalam transaksi pelaburan emas. Bagaimana pula nak mempraktikkannya? InsyaAllah, saya akan menunjukkan secara details mengenai cara-cara membeli emas dalam entry akan datang. 


Thursday, February 13, 2014

Kronologi Penipuan di Internet (Cyber Scam)

Kita sedia maklum tentang jenayah penipuan di internet a.k.a Cyber Scam memandangkan selalu sahaja disiarkan berita mengenainya. Kita juga selalu menerima mesej berangkai melalui Facebook, What App, email dan sebagainya yang menasihatkan agar berhati-hati dalam membuat sebarang transaksi secara online. Namun sehingga hari ini, masih  ramai yang terjerat dengan penipuan tersebut. Mereka hanya menyedari telah ditipu hanya setelah mengetahui duit telahpun lesap dan orang yang menerima bayaran tidak dapat dihubungi. 

Baru-baru ini, kawan aku merangkap housemate turut sama terjerat. Yang paling menarik, kami cuba sedaya upaya merungkai rangkaian penipuan tersebut dan akhirnya berjaya mengesan kronologi penipuan tersebut. Walaupun masih belum mengetahui siapakah sebenarnya si penipu tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kami sudahpun mengetahui serba sedikit tentang modus operandi yang digunakan. Jadi, di sini aku ingin berkongsi kronologi tersebut agar dapat dijadikan panduan dan semoga dengan perkongsian ini dapat meningkatkan kesedaran kita seterusnya dapat mengurangkan risiko tertipu dengan cyber scam. 
  • Pada 19 Jan 2014, Mangsa A (kawan aku) membaca iklan di Mudah.my mengenai rumah sewa. Mangsa A menghubungi Si Penipu untuk booking rumah sewa yang diiklankan. Si Penipu meminta Mangsa A membayar deposit sebulan RM680 ke dalam akaun CIMB Mangsa B (penjual tablet). Si Penipu berjanji untuk menunjukkan rumah dan memberikan kunci rumah pada 5 Jan 2014. 
  • Sebelum Mangsa A bank in duit ke dalam akaun Mangsa B, Mangsa A membuat sedikit kajian mengenai pemilik akaun iaitu Mangsa B melalui internet (Google Search) dan mendapati Mangsa B merupakan seorang pensyarah di Kolej Matrikulasi di Kedah. Si Penipu juga ada memberitahu Mangsa A bahawa dia merupakan seorang pensyarah di Kedah. Jadi, Mangsa A membuat kesimpulan bahawa Mangsa B dan Si Penipu adalah orang yang sama. Maka, dengan yakinnya Mangsa A membuat bayaran deposit tersebut pada petang 19 Jan 2014. 
  • Pada 3 Feb 2014, Mangsa A menghubungi Si Penipu untuk tetapkan lokasi perjumpaan pada 5 Jan 2014 seperti yang dijanjikan sebelum ini. Si Penipu menetapkan lokasi perjumpaan adalah di PKNS Bandar Baru Bangi pukul 6 petang. 
  • Pada 4 Feb 2014, Mangsa A bertolak dari Kelantan ke Bangi bersama ibu dan abangnya. Manakala Si Penipu memberitahu bahawa dia juga baru bertolak dari Kedah. 
  • Tepat jam 6 petang, Mangsa A menuju ke PKNS dan menunggu di situ sambil cuba menghubungi Si Penipu. Namun, Si Penipu sudah mula tidak menjawab panggilan telefon dan membuat setting 'divert call' kepada nombor yang lain. 
  • Mangsa A mula resah dan membuat kajian yang lebih mendalam melalui Google Search. Dari situ Mangsa A berjaya mendapatkan nombor telefon rumah ibu kepada Mangsa B. Mangsa A terus menghubungi ibu Mangsa B dan menceritakan serba sedikit tentang rumah sewa dan juga deposit yang dibayar. Ibu Mangsa B yang berada di Negeri Sembilan memberitahu anaknya bekerja di Kedah dan tidak mempunyai rumah sewa di Bangi. Kemudian, ibu Mangsa B menghubungi anaknya dan menceritakan peristiwa tersebut. 
  • Mangsa B menelefon Mangsa A dan memberitahu memang terdapat transaksi deposit RM680 ke dalam akaunnya pada 19 Jan 2014. Namun Mangsa B menceritakan bahawa dia merupakan pensyarah dan juga menjual tablet melalui Mudah.my. Si Penipu pernah menghubungi Mangsa B untuk membeli tablet dengannya dan menyuruh Mangsa B menghantar tablet tersebut melalui pos ke atas nama dan alamat Skynet Mangsa C (pelanggan Si Penipu) di Gombak dan berjanji akan bank duit ke dalam akaun Mangsa B. 
  • Mangsa B bersetuju dan membuat pengeposan tablet tersebut setelah mendapati akaunnnya telah dikreditkan dengan sejumlah amaun dari beberapa transaksi dari orang yang berbeza-beza. Setelah dijumlahkan, Mangsa B mendapati jumlah amaun yang dikreditkan adalah RM2000 sedangkan harga tablet adalah RM1700. Jadi Mangsa B menghubungi Si Penipu untuk memulangkan baki sebanyak RM300. Si Penipu meminta Mangsa B transfer ke dalam akau BSN yang tidak dapat dikenalpasti pemiliknya adakah akaun Si Penipu atau akaun mangsa yang lain pula. 
  • Kami membuat kesimpulan bahawa orang yang mengcreditkan akaun Mangsa B merupakan mangsa-mangsa yang tertipu dengan iklan-iklan palsu yang lain yang diiklankan oleh Si Penipu. Ini kerana amaun yang dikreditkan adalah daripada orang yang berbeza dengan jumlah yang berbeza. 
Setelah berjaya merungkai kronologi di atas, keesokannya aku berbincang dengan Compliance Team di ofis aku kerana merasakan ianya ada kaitan dengan aktiviti 'Money Laundering'. Hasilnya, aku mendapati memang benar ia merupakan sebahagian daripada aktiviti money laundering yang mana penjenayah menggunakan institusi kewangan sebagai medium untuk melakukan jenayah. Tindakan yang perlu diambil dalam kes sebegini adalah seperti berikut: 
  • Tindakan yang paling pantas dan senang dilakukan adalah melakukan kajian melalui Google Search. Antara keyword yang boleh digunakan adalah nama, nombor, telefon, nombor akaun bank, nombor kad pengenalan dan apa sahaja maklumat yang ada. 
  • Mangsa A perlu membuat laporan polis tentang penipuan ini supaya pihak polis dapat membuat siasatan seterusnya dapat menyelamatkan orang awam lain daripada menjadi magsa yang seterusnya. Itupun kalau polis rajin buat kerja.. kalau tak, jadi bahan koleksi dalam fail dia jelah.. 
  • Mangsa B perlu membuat laporan polis kerana identiti dan maklumat peribadinya telah disalahgunakan. Dia juga hendaklah menutup akaun CIMB dan membuat akaun yang baru. 
  • Mangsa A dan Mangsa B juga perlu membuat laporan kepada CIMB bank dan juga BNM kerana kes ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Money Laundering. 
Persoalannya, bagaimana pula dengan status transaksi yang dikreditkan ke dalam akaun Mangsa B, adakah ia halal atau haram untuk diiktiraf sebagai sebahagian daripada pendapatan bagi Mangsa B? Adakah Mangsa B perlu memulangkan kembali kesemua duit mangsa-mangsa yang tertipu seperti Mangsa A tadi? Maka, aku berbincang pula dengan Pegawai Syariah di ofis aku bagi menjawab persoalan tersebut. Mereka berpendapat bahawa transaksi jual-beli tersebut adalah sah dan Mangsa B tidak bersalah kerana dia juga menjadi mangsa. Namun pendapatan tersebut hanyalah shubhah dan Mangsa B sendiri berhak ke atas duit tersebut.  Maka terpulanglah kepada Mangsa B untuk memulangkan wang tersebut kepada mangsa-mangsa yang lain atau tidak. Wallahua'lam. 

Saturday, February 8, 2014

Kesilapan-Kesilapan Dalam Penghasilan Karya Khat Kufi

Setelah beberapa lama berlatih menghasilkan karya kufi mengikut disiplin-disiplin yang ditetapkan oleh sifu-sifu yang  master dalam bidang ini, aku dapati banyak kesilapan-kesilapan yang selalu terlepas pandang terutamanya bagi aku yang masih dikira 'newbies' ini. 

Kesilapan major yang selalu dikesan adalah dari segi variasi penyambungan huruf. Manakala kesilapan minor yang dikesan adalah seperti lompat datum, terkurang atau terlebih rumah huruf, titik berada di luar rumah huruf dan lain-lain lagi. 

Untuk lebih jelas, aku bawakan contoh-contoh kesilapan bersama sedikit penerangan agar lebih jelas dan mudah difahami. Kita mulakan dahulu dengan kesilapan minor. Contoh-contoh yang ditunjukkan kelihatan sempurna pada pandangan mata kasar, namun apabila diamati, memang dapat dikesan kesilapannya...

1. Lompat datum. Susunan huruf hendaklah mengikut turutan datum bermula dari Selatan > Barat > Utara > Timur kemudian kembali ke Selatan dan seterusnya. 
Perhatikan huruf Wau dan huruf Qaf. Huruf Wau berada pada datum Utara manakala huruf Qaf berada pada datum selatan. Sepatutnya, huruf Qaf mestilah berada pada datum timur.

2. Titik berada di luar rumah huruf. Setiap huruf yang bertitik, salah satu titiknya hendaklah sentiasa berada betul-betul di bawah atau di atas rumahnya. 
Perhatikan titik huruf Ya. Ia sepatutnya berada betul-betul di bawah rumahnya. 

3. Rumah Hantu. Terlebih rumah iaitu rumah tambahan yang tiada di dalam free flow. 
Stroke warna pink adalah rumah hantu.

4. Terkurang rumah. Biasanya tertinggal tiang huruf.  
Huruf Ya tiada tiang.

5. Huruf terlungkup. Biasanya Huruf Ya selalu dihasilkan secara terlungkup. 
Huruf Ya terlungkup bukan variasi dan ianya adalah salah. 

6. Huruf terlebih tiang.  Setiap huruf mempunyai syarat bilangan tiang yang minimum dan maksimum. Contohnya tiang huruf Ya hendaklah sentiasa 3 bar, huruf alif sentiasa minimum 5 bar, tiang huruf Ha sentiasa minimum 5 bar dan lain-lain. 
Tiang huruf Ya maksimum 3 bar sahaja.

7. Huruf terkurang tiang. Setiap huruf mempunyai syarat bilangan tiang yang minimum dan maksimum. Contohnya tiang huruf Ya hendaklah sentiasa 3 bar, huruf alif sentiasa minimum 5 bar, tiang huruf Ha sentiasa minimum 5 bar dan lain-lain. 
Tiang huruf Ha salah sebab tiangnya 3 bar.

8. Dual datum. Kedua-dua tiang huruf hendaklah berada di datum yang sama.  
Tiang pertama huruf Tha berada di datum utara, manakala tiang kedua berada di datum timur.

9. Tikam kepala. Penyambungan yang betul adalah sambungan ke tiang huruf seperti sambungan free flow. 
Sambungan huruf Ya ke kepala huruf Mim kelihatan menikam kepala huruf Mim. 

10. Flow tidak tersusun. Kebanyakan kufi dengan flow yang tidak tersusun dihasilkan oleh newbies yang baru belajar dan belum memahami disiplin-disiplin asas seperti susunan datum, disiplin huruf dan lain-lain. 
Contoh design yang tidak boleh diterima kerana terlalu banyak kesilapan. Antaranya tidak mengikut susunan datum, kesilapan hukum positif dan negatif, salah variasi huruf dan lain-lain.. 

Seterusnya, di bawah ini disenaraikan pula contoh kesilapan-kesilapan dalam penyambungan huruf yang selalunya dibahaskan oleh para penggiat khat kufi. 
Penyambungan huruf Lam dan Kaf salah, sepatutnya disambung pada lantai paling bawah huruf Kaf. Sambungan huruf Mim dan Lam juga salah. Huruf Alif juga tidak cukup tiang. 

Bagi menangani kesilapan penyambungan huruf ini, terdapat tutorial-tutorial yang dihasilkan oleh sifu-sifu untuk dijadikan sebagai rujukan. Namun, untuk menghasilkan karya kufi yang unik dan kemas, kadangkala teknik yang diajarkan tidak dapat memberikan penyelesaian yang sempurna untuk karya kufi yang diinginkan. Oleh itu, pemikiran yang kreatif dan kritikal amat diperlukan. Maka, lahirlah pelbagai variasi penyambungan huruf yang kadangkala tidak menepati disiplin-disiplin kufi sebagaimana yang dipersetujui oleh para penggiat khat kufi. 

Kesimpulannya, jangan takut untuk cuba mencari penyelesaian bagi menghasilkan sesebuah karya kufi, namun harus mengikuti disiplin-disiplin khat kufi agar tidak merosakkan keaslian hurufnya. 

Note : Sebarang pertanyaan, komen, dan tempahan design khat kufi, boleh menghubungi saya di alamat email fitnunnisak@gmail.com atau tinggalkan pesanan dalam rungan komen di bawah. Sekian terima kasih.

Sunday, February 2, 2014

Beramah Mesra Bersama Warga Emas

Date : 27 Oct 2013
Venue : Ruman Seri Kenangan, Cheras

Rumah Seri Kenangan Cheras terletak di batu 11, betul-betul di tepi highway Cheras-Kajang. Buat masa ini, terdapat 176 warga emas tinggal di sini yang berasal dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia. 


Aku berpeluang menyertai program kebajikan dan ramah-mesra bersama warga emas di sini, anjuran company aku dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ). Ini adalah kali pertama aku mengikuti program macam ni. Masa mula-mula menjejak kaki ke sana, terasa berdebar-debar jugak la. Dalam fikiran, macammana la nak berdepan dengan mereka, bagaimana penerimaan mereka dan berkali-kali mengingatkan diri supaya jangan terlepas cakap pasal keluarga atau kisah lampau mereka. 

Sesi bergambar selepas tamat program bersama PPZ
Setibanya di sana, aku rasa terpukau kerana ia kelihatan sangat cantik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Rupa-rupanya Rumah Seri Kenangan di Cheras ni baru sahaja siap renovated. Bagi cawangan lain juga akan direnovate secara berperingkat-peringkat. Di sini terdapat rumah berbentuk seperti cluster, dan di setiap cluster didiami oleh 6-8 orang warga emas. Antara kemudahan yang terdapat di sini ialah gim, pusat muzik tradisional, bengkel kraftangan, dewan serbaguna dan lain-lain. 

Setiap cluster dikategorikan kepada tahap kesihatan dan kemampuan penghuni yang berbeza. Aku berpeluang melawat ke bahagian yang agak kritikal iaitu tahap yang memerlukan penjagaan rapi, tidak berupaya bangun dan berjalan dengan sendiri. Aku lihat keadaan mereka sangat menyedihkan. Ada yang berbadan kurus kering betul-betul tinggal tulang dan kulit sahaja, makan dan minum melalui tiub ke dalam saluran hidung. 

Terdapat juga penghuni yang agak ramah bercerita. Aku tak berani nak tanya pasal asal-usul dan keluarga mereka, tetapi mereka sendiri yang bercerita. Ada yang ditinggalkan anak-anak, ada yang sebatang kara selepas kematian suami, dan bagi aku yang paling menyedihkan adalah seorang andartu yang merupakan anak tunggal dan telah kematian ibu-bapa. Dia betul-betul sebatang kara. MasyaAllah, aku tak tahu seandainya aku diuji sebegitu, bagaimana aku nak meneruskan hidup.nauzubillah...

Mereka juga bercerita, ramai juga pelawat-pelawat yang datang dari golongan pelajar sekolah dan universiti, serta sukarelawan termasuk golongan artis. Ada antara mereka pernah benjanji untuk datang semula, namun mungkir janji. Pada aku, andainya tidak ikhlas dan tidak terniat sebenarnya untuk datang melawat di lain kali, tak usahlah berjanji dan memberi harapan palsu kepada mereka. 

Selepas beramah mesra dalam lebih kurang 4-5jam, kami berkumpul di dewan serbaguna untuk menikmati makan tengahari, hidangan Nasi Arab hasil gotong-royong staff PPZ. Hebat rupanya warga PPZ dalam menyediakan masakan Nasi Arab, memang sangat sedap! Kami juga dihiburkan oleh artis jemputan Syam Kamikaze, Pian Saujana, Yatt Hamzah dan beberapa selebriti dakwah yang lain. 

Yatt Hamzah beramah mesra dengan warga emas.. cantik kan dia=))
Akhir kalam, apa yang aku dapat daripada program kali ni adalah kasih-kayang terhadap ibu-bapa. Aku rasa kesal kerana agak kurang meluangkan masa bersama ibu-bapaku di kampung. Dan seandainya aku diuji dengan keadaan ibu-bapa yang tak berdaya, mampukah aku untuk menjaga dan menguruskan mereka seikhlas mungkin sebagaimana mereka menjagaku ketika aku kecil dulu?

Semoga Allah sentiasa memberi kesihatan yang baik buat kedua ibubapaku. Dan semoga aku diberi kekuatan dan keredhaan di saat mereka tidak berdaya suatu hari nanti...

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin